Waktu kerja 4 hari seminggu bebankan syarikat, kata majikan


Ravin Palanisamy

Kebanyakan industri dan majikan tidak bersedia melaksanakan waktu kerja empat hari seminggu walaupun Putrajaya sedang menjalankan kajian mengenainya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2022.

TIDAK perlu untuk melaksanakan waktu kerja empat hari seminggu kerana ia akan menambah kos kepada syarikat, kata kumpulan majikan, industri.

Mereka berkata kebanyakan industri dan majikan tidak bersedia walaupun Putrajaya sedang menjalankan kajian mengenai kebolehlaksanaannya.

Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Soh Thian Lai berkata, waktu kerja seperti itu memberi kesan terhadap kecekapan dan produktiviti.

Malah, tambahnya, ia “tidak diperlukan” bagi negara seperti Malaysia yang sudah ada begitu banyak cuti umum.

“Seperti yang berlaku pada masa ini, pekerja yang bekerja lima hari seminggu secara puratanya cuma bekerja kira-kira empat hari selepas mengambil kira banyak cuti umum, cuti sakit, cuti bersalin, dan lain-lain cuti.

“Oleh itu, di Malaysia, pengurangan jam seminggu atau empat hari seminggu tidak diperlukan,” kata Soh kepada The Malaysian Insight.

Minggu lepas, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Mohd Shafiq Abdullah berkata pihaknya telah menubuhkan satu pasukan khas untuk mengkaji pelaksanaan waktu bekerja tersebut.

Beliau berkata tindakan itu dibuat kerana terdapat tuntutan daripada beberapa pihak yang inginkan kerajaan melihat perkara berkenaan dengan lebih terperinci.

“(Ia) untuk melihat bagi pihak kerajaan berhubung sektor mana serta jumlah waktu minimum dan maksimum bekerja selaras dengan Akta Pekerja 1955 sebelum sebarang keputusan diambil,” katanya.

Mohd Shafiq berkata banyak perkara perlu diperhalusi kerana bidang pekerjaan yang ada sekarang ini sudah pelbagai selain jumlah hari bekerja dan masa rehat yang perlu diteliti.

Dalam pada itu Soh berkata, sebarang percubaan untuk memperkenalkan perubahan dalam corak kerja perlu mengambil kira faktor lain seperti kos kepada syarikat.

Kos tambahan

Jika pelaksanaan itu meningkatkan kos, Soh berkata pengguna akan terbeban melalui produk dan perkhidmatan.

“Waktu kerja yang dikurangkan akan mengakibatkan peningkatan kos gaji atas nama fleksibiliti tempat kerja kerana operasi kilang khususnya, berjalan secara 24/7.

“Sebarang kerja yang dilakukan melebihi empat hari kerja akan dianggap sebagai kerja lebih masa.

“Seseorang, dalam kes ini, pengguna, perlu menanggung kos waktu kerja baharu, melalui produk dan perkhidmatan yang disediakan oleh industri,” katanya.

Soh berkata pilihan kerja jarak jauh dan hibrid mungkin sesuai dalam sesetengah persekitaran kerja, tetapi bukan untuk sektor yang perlu beroperasi sepanjang masa dan memerlukan kehadiran fizikal di tingkat pengeluaran.

“Selain itu, tempoh kerja empat hari seminggu akan mendorong majikan sektor ini untuk menekan pekerja mereka untuk bekerja lebih masa yang mana majikan terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi dalam pembayaran lebih masa, dan lain-lain.

“Ini tidak akan menyumbang kepada apa-apa faedah sebenar terutamanya kerana ia tidak akan memberi sebarang perbezaan kepada kehidupan seimbang pekerja yang ingin meningkatkan kesihatan mental, fizikal dan emosi mereka,” tambahnya.

Justeru beliau menggesa Putrajaya berunding dengan pemain industri sebelum memutuskan perkara tersebut.

Tinjauan dapati majikan tolak kerja empat hari seminggu

Menurut tinjauan dijalankan oleh Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), penemuan awal menunjukkan majikan Malaysia tidak bercadang untuk melaksanakan waktu bekerja empat hari seminggu.

Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman berkata berdasarkan dapatan awal kajian, sebanyak 60 peratus daripada 170 syarikat yang tidak mempunyai kerja syif, manakala 78.6 peratus daripada 112 syarikat yang mempunyai kerja syif, tidak berhasrat untuk melaksanakan waktu kerja rmpat hari seminggu.

Tinjauan bertajuk “Kajian MEF tentang Pelaksanaan waktu bekerja empat hari seminggu di Malaysia”, telah dijalankan pada April tahun ini.

Syed Hussain berkata, kajian itu turut mendapati kekurangan bagi majikan dengan tempoh bekerja empat hari seminggu, memandangkan 79.4 peratus responden menyatakan sukar untuk melaksanakannya kerana tidak semua sektor memerlukan waktu bekerja sedemikian.

Pada ketika ini, juga tiada data untuk menyokong peningkatan produktiviti jika dasar kerja empat hari seminggu dilaksanakan, tambahnya.

“Akan ada isu lebih masa, jadual kerja, keperluan pelanggan dan keperluan tenaga kerja yang berbeza di setiap bahagian kerja atau syarikat.

“Selain itu, 65 peratus responden menyatakan perkhidmatan pelanggan mungkin terjejas, syarikat terpaksa berdepan isu kos pengeluaran yang lebih tinggi atau kos gaji yang tinggi kerana terpaksa membayar gaji lebih masa.”

Syed Hussain bersetuju negara sedang mengalami tekanan ekonomi akibat pandemik Covid-19 dan aturan kerja yang fleksibel, waktu kerja yang lebih pendek dan waktu kerja giliran adalah antara langkah yang diambil oleh majikan untuk mengekalkan pekerja sedia ada dan menarik pekerja baharu.

Bagaimanapun, beliau berkata majikan perlu mempunyai budi bicara untuk menentukan hala tuju syarikat mereka, budaya kerja syarikat dan juga pengurusan waktu kerja syarikat.

Beliau berkata majikan swasta tidak boleh dipaksa untuk melaksanakan dasar tentang cara urus pekerja mereka. – 7 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen