SPRM siasat syarikat urus pekerja asing Bangladesh


Kalidevi Mogan Kumarappa

SATU syarikat pengurusan pendaftaran pekerja asing kini disiasat bagi kes rasuah dan monopoli perniagaan, menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua pesuruhjayanya Azam Baki mengesahkan kes itu melibatkan dua kementerian dan berkait dengan beberapa serbuan dijalankan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Setakat ini belum ada tangkapan dilakukan tetapi pemilik syarikat berkenaan sudah dipanggil untuk dirakam keterangan.

“Beliau (pemilik syarikat) akan dipanggil semula untuk siasatan lanjut,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sementara itu, sumber SPRM mengesahkan serbuan itu berikutan rungutan berhubung pemilihan 25 syarikat di Bangladesh yang akan membekalkan pekerja ke Malaysia.

“Dipercayai kebanyakan daripada 25 syarikat itu dikaitkan dengan pemilik syarikat itu.

“Ramai pekerja asing yang berminat untuk bekerja dikenakan bayaran terlalu tinggi sehingga mencecah puluhan ribu ringgit,” katanya.

Menurut sumber, isu berkenaan dibangkitkan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan ahli politik dengan melahirkan rasa tidak puas hati terhadap aktiviti monopoli oleh suspek terbabit.

“Dengan mengehadkan hanya 25 syarikat, ia menutup peluang syarikat lain berniaga.

“Siasatan SPRM tertumpu kepada dakwaan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan dua kementerian,” katanya.

Sumber berkata, 25 agensi berkenaan terpilih dari lebih 1,000 syarikat yang disenaraikan Bangladesh. – 6 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen