Rayuan tangguh hukuman mati rakyat Malaysia didengar hari ini


Elill Easwaran

Kalwant Singh adalah antara banduan warga Malaysia yang sedang menunggu pelaksanaan hukuman gantung sampai mati selepas terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di Singapura. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Julai, 2022.

RAYUAN banduan rakyat Malaysia yang menunggu hukuman mati di Singapura, Kalwant Singh, 32, didengar hari ini, menjelang hukuman gantung yang dijadualkan esok.

Kakak Kalwant, Tarlochan Kaur memberitahu The Malaysian Insight perbicaraan oleh Mahkamah Rayuan Singapura akan diadakan pada jam 3 petang.

Kalwant berharap rayuan pada saat akhir itu akan menangguhkan hukuman matinya, tambah beliau.

“Saya sudah berjumpa dengannya sejak Jumaat dan nampaknya sangat positif yang beliau akan mendapat penangguhan saat akhir,” kata Tarlochan yang terbang ke Singapura pada Jumaat selepas mendengar tarikh hukuman mati adiknya.

Lawyers for Liberty (LFL) dalam satu kenyataan semalam berkata Kalwant bukan sahaja memfailkan notis usul kepada Mahkamah Rayuan untuk penangguhan pelaksanaannya tetapi semakan terhadap sabitan dan hukumannya juga.

Kalwant ditangkap oleh pihak berkuasa Singapura atas tuduhan dadah pada 2013 dan dipenjarakan sejak itu.

Beliau disabitkan oleh Mahkamah Tinggi Singapura kerana menyeludup 120.9g diamorphine.

Pada April, seorang lagi rakyat Malaysia, Nagaentran Dharmalingam, 34, dihukum gantung walaupun memohon pengampunan dan rayuannya pada saat-saat akhir ditolak.

Beliau ditangkap pada April 2009 dan dijatuhi hukuman mati pada 2011 di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, kerana mengimport 42.7g diamorphine secara haram.

Sejak 2010, sebanyak 14 rakyat Malaysia, 11 daripadanya berbangsa India, dihukum mati di Singapura.

Menurut laporan, sembilan rakyat Malaysia termasuk Kalwant akan dihukum mati tidak lama lagi. – 6 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen