Banjir di Australia paksa ribuan penduduk tinggalkan kediaman


Pihak berkuasa New South Wales mengeluarkan amaran banjir baharu mengenai air sungai semakin naik dan banjir masih mendatangkan bahaya di beberapa bahagian Sydney. – Gambar EPA, 6 Julai, 2022.

RIBUAN penduduk di pantai timur Australia meninggalkan kediaman mereka pada Rabu ketika hujan lebat mula sampai ke utara selepas menyebabkan banjir di Sydney yang menenggelamkan komuniti, jalan raya dan jambatan.

Pihak berkuasa New South Wales mengeluarkan amaran banjir baharu di utara bandar terbesar Australia itu dan memberi amaran air sungai semakin naik dan banjir masih mendatangkan bahaya di beberapa bahagian Sydney walaupun hujan di bandar itu berkurangan.

“Situasi ini masih belum tamat,” kata Perdana Menteri negeri itu Dominic Perrottet.

Sejak banjir bermula pada hujung minggu, perkhidmatan kecemasan mengeluarkan lebih 100 arahan pemindahan.

Seramai 85,000 orang diarahkan meninggalkan rumah dengan segera atau bersedia agar tidak terkandas oleh air banjir yang semakin meningkat.

Di seberang pinggir barat Sydney, sungai melimpah dan kawasan besar berubah menjadi tasik dengan air menenggelamkan rumah, jalan dan jambatan.

Perdana Menteri Anthony Albanese melawat kawasan terjejas pada Rabu, berjanji untuk mencari “penyelesaian jangka panjang” selepas beberapa bencana banjir merentasi pantai timur Australia dalam tempoh 18 bulan lalu.

Albanese berkata walaupun Australia sentiasa mengalami banjir, kebakaran belukar”, para saintis memberi amaran perubahan iklim akan menjadikan peristiwa sebegitu lebih kerap.

Terdapat 21 operasi menyelamat di seluruh New South Wales semalam, dan pada Rabu lebih 1,000 pekerja perkhidmatan kecemasan berada di lapangan.

Kerajaan persekutuan mengisytiharkan bencana alam di 23 bahagian negeri yang dilanda banjir, memberi pembayaran bantuan kepada penduduk yang terjejas.

Ramai penduduk yang terjejas mengalami banjir pantai timur berturut-turut yang melanda pada 2021 dan sekali lagi pada Mac tahun ini dengan lebih 20 orang terkorban.

Biro Meteorologi Australia berkata sistem cuaca dijangka bergerak di luar pantai hujung minggu ini.

Andrew Hall, ketua eksekutif Majlis Insurans Australia, berkata beliau menjangkakan banjir Sydney akan diisytiharkan sebagai “malapetaka” oleh industri insurans.

Beliau berkata 2,700 tuntutan insurans telah dibuat pada Selasa dari Sydney sahaja, dan lebih banyak lagi dijangkakan apabila orang ramai pulang ke rumah mereka.

Hall berkata kira-kira AS$3.4 bilion tuntutan bencana dibuat di Australia tahun ini. – AFP, 6 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen