Syahredzan dijangka ganti Ong Kian Ming di Bangi


Chan Kok Leong

BERMULA daripada kerjaya dalam bidang undang-undang kepada aktivisme hak asasi manusia hingga menjadi setiausaha politik kepada Lim Kit Siang daripada DAP, peralihan Syahredzan Johan ke dalam dunia politik nampaknya hampir tidak dapat dielakkan.

Dan selepas empat tahun berkhidmat secara sukarela sebagai penasihat undang-undang dan kempen, peguam berusia 39 tahun itu kini dikhabarkan akan menggantikan Ahli Parlimen Bangi selama dua penggal Dr Ong Kian Ming selepas bekas timbalan menteri itu berkata tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tambahan pula, Ong melantik Syahredzan sebagai wakilnya di kerusi P102 pada 22 Jun, mencetuskan cadangan yang beliau dijangka menggantikan ahli akademik itu di Bangi.

Aktivisme kepada politik

Mengimbas kembali, Syahredzan berkata langkah ke dalam politik Parlimen nampaknya tidak dapat dielakkan.

Walaupun dibesarkan dalam suasana kelas pertengahan yang selesa di Petaling Jaya, beliau terkesan dengan peristiwa pada 1998 yang kemuncaknya dengan pemecatan dan pemenjaraan seorang timbalan perdana menteri.

“Saya baru tingkatan 3 ketika itu. Tetapi saya masih ingat rasa marah, kecewa dan terkilan dengan ketidakadilan yang dikenakan ke atas individu kedua paling berkuasa di negara ini,” katanya semasa wawancara di sebuah kafe di Bangi.

“Saya percaya ia membawa saya mengikuti kursus untuk mempelajari undang-undang dan kemudian aktif dalam Badan Peguam Malaysia,” kata anak sulung daripada lima beradik itu.

Pada 1998, timbalan perdana menteri ketika itu Anwar Ibrahim ditangkap dan dipukul semasa dalam tahanan sebelum dijatuhkan hukuman penjara kerana salah guna kuasa dan liwat. 
Anwar, yang mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya, dibebaskan pada 2004 selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan sabitannya.

Di samping kejadian itu, Syahredzan berkata minatnya dalam politik terus mendalam apabila beliau mempelajari undang-undang di United Kingdom.

“Dalam undang-undang, kita mengkaji undang-undang, peranan kerajaan termasuk dasar. Sebagai peguam, kami juga mempunyai kewajipan untuk bersuara menentang ketidakadilan.”

Apabila kembali ke tanah air, Syahredzan kemudian menyertai Badan Peguam Malaysia dan menjadi lebih aktif dalam Majlis Peguam selepas pilihan raya 2008.

Sejak itu, beliau mengetuai peguam muda dan jawatankuasa undang-undang perlembagaan dari 2011-2016.

Antara satu daripada kempen paling menonjol pada masa itu ialah kempen pendidikan dua tahun yang dipanggil MyConstitution, diketuai oleh peguam hak asasi manusia Edmond Bon.

Menggunakan beberapa siri buku kecil dan bengkel, kempen itu menjelajah ke seluruh negara mengajar kepentingan Perlembagaan Persekutuan, mata pelajaran yang jarang diajar di sekolah.

“Kami mahu memudahkan Perlembagaan Persekutuan untuk semua orang, untuk memberitahu mengenai hak asasi mereka,” kata Syahredzan.

Tetapi walaupun kempen itu berjaya, Syahredzan berasa ia masih tidak mencukupi.

“Terdapat perasaan tidak puas hati yang jangkauan Badan Peguam adalah terhad dan untuk memberikan kesan perubahan yang meluas, lebih banyak perlu dilakukan di peringkat penggubalan undang-undang.

“Kita masih mempunyai banyak undang-undang seperti hasutan, komunikasi dan undang-undang multimedia dan penahanan yang tidak adil.”

Tambahnya, terdapat juga aspek yang tidak dapat menghubungkan antara kerajaan dan pengundi.

“Ambil contoh aduan baru-baru ini mengenai kekerapan pengangkutan awam dan kerosakan kemudahan di stesen. Daripada melihat perkara ini, kerajaan memberi tambang secara percuma selama sebulan.

“Apa yang akan berlaku apabila ia berakhir? Adakah kita perlu kembali ke lif yang tidak berfungsi dan kereta api yang penuh sesak lagi kerana bilangan penumpang tidak bertambah?” – 6 Julai, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen