BEKAS timbalan presiden MIC S Subramaniam telah menghembuskan nafas terakhirnya petang tadi selepas lebih 10 tahun berada dalam keadaan koma.
Perkara ini disahkan kepada The Malaysian Insight oleh anak lelakinya, S Sunther.
“Beliau meninggal dunia dengan tenang pukul 8 malam. Urusan pengebumian sedang dibuat ketika ini,” katanya.
Mendiang Subramaniam sebelum ini pernah menjalani dua pembedahan otak pada 2011 namun tidak dapat sedarkan diri kembali.
Doktor beliau telah menamakan keadaan itu sebagai Persistent Vegetative State (PVS) yang boleh mengambil masa bertahun-tahun lamanya.
Subramaniam, 78, meninggalkan isteri dan tiga anak.
Mendiang Subramaniam pernah menjadi ahli Parlimen Segamat dari 1990 hingga 2004, selain pernah menjawat jawatan timbalan menteri.
Ketika bergiat aktif dalam MIC, mendiang dikenali kerana menjadi pesaing sengit orang kuat parti S Samy Vellu.
Anak lelakinya Sunther baru-baru ini meninggalkan MIC untuk menyertai Warisan sebelum diangkat menjadi pengerusi Warisan Perak. – 5 Julai, 2022.
Komen