Shahrir yakin undi Felda masih untuk BN


Mohd Farhan Darwis

Pengerusi Felda Shahrir Samad berkata usaha beliau memulihkan agensi berkenaan daripada pelbagai isu dan skandal kini semakin dirasai peneroka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Februari, 2018.

PENGERUSI Felda Shahrir Samad berkeyakinan majoriti peneroka Felda masih menyokong Barisan Nasional (BN) kerana usahanya memulihkan agensi berkenaan daripada pelbagai isu dan skandal kini semakin dirasai peneroka.

Shahrir berkata, majoriti peneroka kini bersama Felda dan hanya sebilangan kecil yang tidak dapat dipuaskan hatinya memilih untuk menolak Felda.

“Ada 93% peneroka kini bersama Felda, iaitu sekitar 105,000 peneroka bersama kita, apa yang pembangkang nak pulihkan, apa model dia sebenarnya,” kata pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN) itu dalam satu wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insight.

Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) itu berkata, tujuh peratus peneroka yang tidak bersama Felda hanyalah sekumpulan kecil yang tidak dapat dipuaskan hatinya.

“Mereka ini juga termasuk antara peneroka yang saman Felda, ada yang rampas kebun dan buat urusan sendiri…pada saya kita tidak boleh puaskan hati semua orang,” katanya.

Menurutnya, daripada kumpulan itu ada yang ingin kembali kepada Felda namum diberikan moratarium selama dua tahun.

“Yang saman kita bagi moratarium dua tahun tak dapat apa apa. Kita tak layan. Bukan mereka tak nak balik dengan Felda, kita tak bagi sebab dia tak percaya dengan Felda sampai saman Felda,” katanya.

Ahli Parlimen Johor Baru itu berkata, sokongan kepada parti adalah pendirian individu peneroka dan tanggungjawabnya sebagai pengerusi Felda adalah menjaga kebajikan kumpulan berkenaan.

“Tak mengapa mereka tak sokong parti, sokong itu perkara lain, tapi tanggungjawab kita jaga mereka,” katanya lagi.

Menurut Shahrir, usahanya memulihkan Felda sejak dilantik sebagai pengerusi Januari tahun lalu kini membuahkan hasil apabila seawal enam bulan pertama pelantikannya, institusi kewangan juga turut kembali menaruh kepercayaan kepada Felda.

“Dalam tempoh enam bulan (sejak pelantikan) kita selesaikan kepercayaan bank kepada Felda. Kita buat yang betul bank boleh percaya…membetulkan lagi mudah.

“Betulkan masalah lagi senang, betulkan keadaan yang tidak betul kepada yang betul lagi senang, pada bulan Januari (2017) saya masuk nak pinjam RM300 juta dia (bank) minta ‘collateral’ RM600 juta, tapi bila bulan Jun bank kata tidak mengapa kita wujudkan sukuk,” katanya.

Sebanyak 51 kerusi Parlimen di semenanjung mengandungi Felda yang mana sejak sekian lama merupakan deposit tetap BN.

Menyedari kepentingan undi peneroka, Bersatu yang dipengerusikan Dr Mahathir Mohamad bertanggungjawab menggempur Felda untuk Pakatan Harapan apabila bertanding di 27 kerusi. Manakala PKR 13, Amanah lapan, dan DAP lima kerusi.

Isu utama yang dihadapi peneroka Felda adalah hutang mereka yang antaranya mencecah ratusan ribu ringgit ekoran pengurusan ladang diserahkan kepada anak syarikat Felda, Felda Technoplant Sdn Bhd.

“Hutang peneroka tidak banyak sebenarnya, ada 9,400 peneroka yang sifar hutang. Mereka ini ikon, dalam keadaan peneroka berhutang, ada kumpulan yang tidak berhutang dengan Felda.

“Manakala peneroka yang terlebih hutang antara RM150,000 hingga RM180,000 bukan ekstrem, tak sampai 50% daripada jumlah peneroka, mungkin tak silap saya ada kumpulan kecil, dalam 1,000 lebih sahaja peneroka yang ada hutang ekstrem ini,” katanya.

“Itu pun ada sebab dia (hutang ekstrem)...ada tidak bayar, ada masalah, tetapi pertamanya kita dah selesaikan.

Pemberian geran penanaman semula bernilai RM40,000 untuk peneroka juga katanya berjaya mengatasi isu hutang peneroka yang menimbun.

“Dulu peneroka tidak layak dapat geran,  sekarang sudah dilayakkan, kemudahan itu ada, kuranglah hutang pembangunan peneroka,” katanya.

Shahrir berkata, usahanya membaiki semula imej Felda juga hanya mengembalikan perkara yang salah kepada yang betul dan tidak perlu menggunakan “roket sains”.

Menggunakan contoh pembangunan rumah generasi kedua, Shahrir berkata, projek itu dilaksanakan dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

“Saya bukan buat roket sains, tak perlu reka balik dengan cara luar biasa,” kata Shahrir.

Tambahnya, apa yang diwar-warkan pembangkang berkenaan Felda juga tidak tepat kerana usaha pembaikan Felda kini semakin hampir.

“Ambil masa sikit kita betulkan, hasil peneroka 100% balik kepada peneroka, tolak pembangunan kos semuanya balik kepada dia. 

“Daripada hasil kebun mereka bayar hutang…Insha Allah,” katanya, ketika ditanya sama ada Felda masih kekal sebagai deposit tetap BN. – 21 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Diharapkan pelantikan pengerusi baru Felda Shahrir Samad dapat mengembalikna keyakinan serta sokongan peneroka felda terhadap kerajaaan dan dapat mematahkan dakyah yang di sebarkan pembangkang yang bercita-cita memancing undi selain dari mereka yang berniat menagguk air yang keruh

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Hana ghaoul · Ulasan

  • Diharapkan pelantikan pengerusi baru Felda Shahrir Samad dapat mengembalikan keyakinan serta sokongan peneroka felda terhadap kerajaaan dan dapat mematahkan dakyah yang di sebarkan pembangkang yang bercita-cita memancing undi selain dari mereka yang berniat menagguk air yang keruh

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Hana ghaoul · Ulasan