Henti projek tanam Musang King di Baling, kata Azeez


Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim berkata penduduk sudah banyak kali serah memorandum minta hentikan projek kepada menteri besar Kedah berhubung projek tanaman durian dan banjir yang kerap di situ sebelum ini. – Gambar Facebook Bernama, 5 Julai, 2022.

AHLI Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim berharap projek tanaman durian Musang King di Gunung Inas di Baling dihentikan, selepas ia didakwa sebagai antara punca kejadian banjir dan fenomena kepala air yang berlaku di beberapa buah kampung di daerah ini, petang semalam.

Beliau berkata sebelum ini pihaknya yang mewakili penduduk di kawasan sekitar telah menghantar memorandum bantahan projek itu kepada Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.

“Saya mewakili penduduk sudah membawa memorandum bantahan yang ditandatangani oleh 900 penduduk sekitar berserta dengan nombor kad pengenalan mereka, penduduk pun sudah banyak kali melakukan demonstrasi berhubung isu ini.

“Projek ini diluluskan oleh kerajaan negeri sebelum ini, isu ini bukan sebulan dua tapi sudah bertahun-tahun,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian di Kampung Iboi di Baling hari ini.

Beliau turut melahirkan rasa sedih dengan bencana itu yang mengorbankan tiga beranak berusia antara 14 hingga 53 tahun termasuk seorang wanita hamil empat bulan.

“Saya sudah cakap dalam Parlimen enam bulan lalu, kita di Baling perlukan RM300 juta untuk menyelesaikan isu banjir di Baling, sudah berulang kali saya merayu termasuk kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air, akhirnya hari ini berlaku juga kejadian tidak diingini,” katanya.

Sementara itu Muhammad Sanusi dalam sidang media hari ini berkata dakwaan bahawa projek tanaman durian Musang King di Gunung Inas sebagai punca kejadian itu belum disahkan.

Katanya dakwaan itu perlu disahkan dengan maklumat lengkap sebelum sebarang tuduhan dilemparkan kepada pihak yang terbabit. – Bernama, 5 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen