Saya tak kata Najib mesti dipenjara, kata Mat Hasan


Raevathi Supramaniam

Naib presiden Umno Mohamad Hasan menafikan laporan Asia Times yang memetik beliau sebagai berkata Najib Razak perlu perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas skandal 1MDB dan dihukum penjara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2022.

TIMBALAN Presiden Umno Mohamad Hassan berkata kenyataannya mengenai kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak dalam satu wawancara telah disalah faham.

Mohamad merujuk kepada wawancaranya bersama Asia Times, yang memetik beliau sebagai berkata Najib perlu perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap skandal 1MDB dan dihukum penjara.

Apa yang sebenarnya beliau sampaikan ialah Najib harus mendapat perbicaraan yang adil di mahkamah.

“Kurang tepat tu. Apa yg saya katakan ialah, Datuk Seri Najib mesti mendapat perbicaraan yg adil.

“Jika didapati salah, salah lah, tetapi mesti diadili dengan adil,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dalam wawancara bersama Air Times, Mohamad dipetik berkata,“Semua orang perlu terima akibat atas perbuatan mereka. Tetapi jika kita mahu berikan pengampunan, dia (Najib) perlu melalui proses itu. Dia perlu masuk ke dalam (penjara) dahulu.”

Mengulas kenyataannya itu, Adun Rantau berkata beliau hanya memberi penjelasan ulasan mengikut konteks proses pengampunan.

“Saya terangkan proses pengampunan biasanya dijalankan selepas hukuman dijalankan,” ujarnya.

Mohamad juga dipetik berkata Najib harus bertanggungjawab sepenuhnya dalam skandal 1MDB.

“Urusan dibuat tanpa mengikut semak dan imbang kewangan, dan dilakukan oleh satu orang iaitu perdana menteri. Dan beliau jugalah menteri kewangan. 

“Beliau juga bertanggungjawab terhadap 1MDB. Itulah punca bagaimana masalah bermula,” katanya.

Dalam laporan itu Mohamad seterusnya berkata jika Umno dan Barisan Nasional mengambil serius isu 1MDB sudah pasti gabungan itu menang dalam pilihan raya umum 2018.

Pada Julai 2020 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah dalam jenayah pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dalam melibatkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International. SRC International adalah anak syarikat 1MDB.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Hukuman dikekalkanMahkamah Rayuan pada Disember tahun lepas.

Ahli Parlimen Pekan itu kini dalam proses rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan, yang akan mendengar rayuan bermula 15 Ogos.– 5 Julai, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen