Mahkamah tolak permohonan injunksi Zahid terhadap Dr Mahathir


Ravin Palanisamy

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan perintah injunksi interim oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk  terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2022.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan perintah injunksi interim oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk  terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Keputusan itu dibuat Hakim Rozana Ali Yusof menerusi prosiding dalam talian hari ini, menurut peguam Mior Nor Haidir dan Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Dr Mahathir.

Permohonan perintah injunksi interim itu sebahagian daripada saman fitnah Zahid terhadap Dr Mahathir berhubung dakwaan beliau cuba mempengaruhi pengerusi Pejuang itu mencampuri urusan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan di mahkamah.

Peguam Dr Mahathir dalam satu kenyataan berkata hakim memutuskan Zahid perlu membuktikan dakwaan Dr Mahathir itu tidak benar.

Mahkamah turut memerintahkan Zahid membayar kos RM5,000 kepada Dr Mahathir. Ahli Parlimen Bagan Datuk itu diwakili peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman.

Dalam sidang media pada 23 Februari lalu Dr Mahathir mendakwa Zahid menemuinya selepas pilihan raya umum 2018 bagi meminta bantuan untuk menggugurkan kes rasuah yang dihadapi presiden Umno itu.

Dalam jawapan terhadap notis saman pada 2 Mac, Dr Mahathir menafikan beliau memfitnah Zahid.

Zahid dibicarakan atas 47 tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah bagi pelbagai projek semasa menjadi menteri dalam negeri.

Beliau juga berdepan 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah RM42 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd berhubung sistem Visa Luar Negara.

Zahid turut didakwa atas tujuh tuduhan lagi kerana memperoleh wang tunai S$1.15 juta, RM3 juta, €15,000 dan AS$15,000 sebagai menteri dalam negeri daripada syarikat yang sama berhubung kerja rasminya. 

April lalu, Zahid juga memfailkan saman fitnah terhadap Muhyiddin Yassin yang mendakwa beliau meminta pengerusi Bersatu itu campur tangan dalam kes mahkamahnya, semasa kempen pilihan raya negeri Johor. – 5 Julai, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen