Lubnan rancang hantar pulang 15,000 pelarian sebulan ke Syria


Angka pelarian Syria yang menetap di Lubnan mencecah hampir 1.5 juta, kira-kira 900,000 daripadanya berdaftar dengan UNCHR. – Gambar AFP, 5 Julai, 2022.

LUBNAN merancang untuk menghantar pulang 15,000 pelarian ke Syria setiap bulan, lapor Agensi Anadolu memetik Menteri Penempatan Issam Sharafeddine pada Isnin.

“Keengganan pelarian Syria pulang ke negara mereka selepas perang berakhir tidak boleh diterima,” kata Sharafeddine dalam satu sidang media susulan pertemuannya dengan Presiden Lubnan Michel Aoun di Beirut.

“Negara Syria bersedia untuk bekerjasama dalam perkara itu,” tambahnya.

Menteri itu berkata beliau membuat cadangan kepada pengarah wilayah Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) Ayaki Ito, mengenai penghantaran pulang pelarian termasuk pembentukan jawatankuasa tiga penjuru dengan Syria dan UNHCR.

Beliau turut menyebut mengenai rancangan empat hala mengenai perkara itu bersama Turkiye, Iraq, dan Jordan, tanpa memberikan butiran lanjut.

Angka pelarian Syria yang menetap di Lubnan mencecah hampir 1.5 juta, kira-kira 900,000 daripadanya berdaftar dengan UNCHR.

Kebanyakan pelarian menjalani kehidupan yang sukar, ditambah dengan kemerosotan krisis ekonomi Lubnan dan krisis ekonomi global. – Bernama, 5 Julai, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen