Tingkat pematuhan SOP hadapi gelombang ke-5 Covid-19, kata pakar


Raevathi Supramaniam

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Boon Chye tidak bersetuju jika sekatan pergerakan dilaksanakan semula kerana ia menyekat aktiviti, lebih-lebih lagi ketika ekonomi tidak menentu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2022.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) perlu meningkatkan langkah pencegahan dan kemudahan kesihatan awam serta menggalakkan rakyat mengambil suntikan dos penggalak bagi menangani ancaman gelombang kelima Covid-19, kata pakar.

Saranan itu disuarakan selepas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bulan lalu dilaporkan berkata Malaysia dijangka menghadapi gelombang kelima Covid-19 dalam tempoh dua atau tiga bulan akan datang.

Khairy memberi amaran gelombang kelima itu tidak dapat dielakkan berdasarkan kepada jumlah kes harian meningkat yang daripada 1,000 kepada 2,000 kes sejak akhir-akhir ini.

Malaysia merekodkan 4.57 juta kes, dengan 35,765 kematian sejak pandemik Covid-19 bermula pada 2020.

Susulan itu, bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Boon Chye menyarankan KMM melaksanakan semula beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang dimansuhkan sebelum ini.

“Kita masih boleh laksanakan semula langkah keselamatan seperti pemakaian pelitup muka (juga di kawasan terbuka) dan penjarakan fizikal bagi membendung penularan Covid-19.

“Semua orang terdedah kepada risiko jangkitan,” kata Lee kepada The Malaysian Insight.

Beliau bagaimanapun tidak bersetuju jika sekatan pergerakan dilaksanakan semula.

“Saya tak fikir kita perlukan sekatan pergerakan lagi. Oleh kerana kadar kematian dan morbiditi adalah rendah, maka langkah itu tidak perlu.

“Ia akan menyekat aktiviti, lebih-lebih lagi ketika ekonomi tidak menentu,” jelasnya.

Lee turut menyarankan supaya pengesanan kontak rapat melalui aplikasi MySejahtera digunakan semula.

“MySejahtera perlu dikekalkan sehinggalah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan pandemik Covid-19 sudah berakhir.”

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Boon Chye menyarankan KMM melaksanakan semula beberapa prosedur SOP yang dimansuhkan sebelum ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2022.

Mulai 1 Mei lalu imbasan kod QR MySejahtera tidak lagi diwajibkan apabila memasuki premis atau tempat awam.

Lee seterusnya berkata sebagai persediaan menghadapi gelombang kelima Covid-19 KMM juga perlu memastikan hospital dapat menampung pertambahan jumlah pesakit.

Bekas menteri kesihatan itu bagaimanapun berpandangan Malaysia tidak mungkin dilanda gelombang kelima memandangkan kadar vaksinasi di negara ini agak tinggi.

Malaysia ketika ini dalam peralihan ke fasa endemik Covid-19. Susulan itu, 181 SOP di bawah Pelan Pemulihan Negara telah dipermudahkan kepada hanya satu SOP yang mengandungi 10 keperluan dalam menuju kehidupan normal.

Antara keperluan tersebut adalah memakai pelitup muka di tempat awam; waktu operasi mengikut lesen/permit; menjaga kebersihan tangan; memastikan penjarakan fizikal satu meter; memastikan pengudaraan dan sistem ventilasi yang baik; memastikan kebersihan premis; serta mematuhi keperluan vaksinasi untuk aktiviti tertentu.

Dos penggalak

Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik) dari Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Malina Osman berkata kerajaan perlu menggalakkan orang ramai supaya mengambil suntikan dos penggalak.

“KKM boleh meneruskan strategi sedia ada dan galakkan pengambilan dos penggalak Covid-19 termasuk dos penggalak kedua.

“Saya percaya KKM akan meneruskan pemantauan rapi ke atas pola jangkitan Covid-19, dan langkah segera akan diambil apabila ancaman dikesan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Dr Zainal Ariffin Omar juga bersetuju pentingnya pengambilan suntikan dos penggalak.

“(Perlu) galakkan orang ramai ambil dos penggalak.

“KKM juga perlu beri amaran apabila bilangan pesakit Covid-19 di hospital semakin ramai atau kes kematian kian meningkat.

“Pemantauan dan peringatan mengenai pemakaian pelitup muka dan ujian saringan mesti diteruskan. Memadai jika semua SOP dipatuhi.

Buat masa ini, suntikan dos penggalak kedua hanya disyorkan kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas dengan komorbiditi berisiko tinggi, dan kanak-kanak 12 tahun ke atas yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah.  Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2022.

Menurut data di laman web CovidNow setakat ini 97.9% populasi dewasa di Malaysia sudah melengkapkan vaksinasi Covid-19, manakala 99.1% sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. Sebanyak 68.6% populasi dewasa telah menerima suntikan dos penggalak.

Bagi golongan remaja berumur 12 hingga 17 tahun pula, 93.4% telah lengkap dua dos vaksin Covid-19, manakala 96.2% lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Manakala bagi kanak-kanak lima hingga 11 tahun hanya 38.4% lengkap dua suntikan vaksin, sementara 49.3% baru menerima satu dos.

Buat masa ini, suntikan dos penggalak kedua hanya disyorkan kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas dengan komorbiditi berisiko tinggi, dan kanak-kanak 12 tahun ke atas yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah.

Individu 18 tahun ke atas yang ingin ke luar negara juga boleh mengambil suntikan dos penggalak kedua.

Dr Malina selain itu berkata ibu bapa juga disarankan supaya tidak membawa anak ke kawasan yang sesak bagi mengelakkan jangkitan. 

Malaysia dilanda gelombang pertama Covid-19 dari 25 Januari hingga 16 Februari 2020. Gelombang kedua berlaku antara 17 Februari dan 30 Jun 2020, manakala gelombang ketiga dari 8 September 2020 hingga 24 Februari 2021.

Empat minggu selepas itu, gelombang keempat bermula dari 22 Jun 2021, dengan jangkitan harian tertinggi sebanyak 33,406 kes direkodkan pada 3 Mac lalu. 

Malaysia melaporkan 11,052 kes Covid-19 dan 26 kematian bagi minggu epidemiologi ke-22 yang bermula dari 29 Mei hingga 4 Jun.

Sebanyak 11,094 kes iaitu penurunan 0.4% dan 25 kematian dicatat pada minggu berikutnya.

Antara 12 hingga 18 Jun pula kes harian meningkta sebanyak 27.9% kepada 14,195, dengan 21 kematian. Dalam tempoh tujuh hari seterusnya, kes harian naik lagi 10.9% dengan 15,739 angka harian dan 13 kematian direkodkan.

Drai 26 Jun hingga 2 Julai angka harian bertambah 9.5% menjadi 16,650 kes, manakala angka kematian naik dua kali ganda kepada 26 kes. – 5 Julai, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen