Tiada lagi pemilihan semula selepas PKR Cabang Ampang, kata sumber


Chan Kok Leong

PKR Cabang Ampang mengadakan pemilihan kedua pada 29 Jun lalu ekoran kes salah laku pengundian di cabang berkenaan pada hujung Mei lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2022.

TIADA lagi pemilihan semula untuk Pemilihan PKR 2022 selain daripada Cabang Ampang, kata sumber kepada The Malaysian Insight.

“Semua keputusan lain akan kekal,” kata salah seorang calon naib presiden pada pemilihan parti tahun ini.

“Keputusan rasmi dijangka akan diumum pada Kongres PKR dalam dua minggu lagi,” tambahnya.

Katanya meskipun ada cadangan agar diadakan pemilihan semula di sembilan cabang yang lain namun ia tidak akan berlaku.

“Dengan PRU15 tidak lama lagi, tiada siapa yang mahukan gangguan. Keputusan itu akan kekal,” katanya.

PKR akan mengadakan kongres tahunannya di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam bermula 15 hingga 17 Julai ini.

Seorang lagi calon naib presiden turut mengesahkan kepada The Malaysian Insight bahawa parti tidak akan mengadakan pemilihan cabang lagi selepas Ampang.

“Kami dah semak dan semua keputusan kekal. Pemilihan semula hanya di cabang Ampang,” katanya.

PKR Cabang Ampang mengadakan pemilihan kedua pada 29 Jun ekoran kes salah laku pengundian di cabang berkenaan pada hujung Mei lalu.

Pada 29 Mei lalu, Daing Muhammad Reduan Bachok menang dengan 942 undi dalam persaingan merebut jawatan ketua cabang menewaskan Hans Isaac (609 undi) dan Altimet (589 undi) serta tiga calon lain namun dalam siasatan dijalankan PKR mendapati beliau terlibat dalam kegiatan membeli undi.

Menurut keputusan tidak rasmi dalam pemilihan semula itu, Hans menang dengan 748 undi menewaskan Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad (746 undi).

Berikutan keputusan parti yang mengetepikan keputusan tersebut, timbul khabar angin yang mendakwa terdapat juga penyelewengan dalam pemilihan sembilan cabang yang lain dan kemungkinan PKR mengadakan pemilihan baharu.

Pada 30 Mei, bekas naib presiden, Rafizi Ramli menewaskan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail bagi jawatan timbalan presiden dalam keputusan tidak rasmi yang dipapar di laman sesawang Pemilihan PKR 2022.

Bagi saingan naib presiden Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Tanjung Malim Chang Lih Kang menewaskan 13 calon lain. – 2 Julai, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen