Bukan kurangkan makan telur, tapi kurangkan jumlah menteri


SAYA merujuk kepada kenyataan Pengarah KPDNHEP Melaka Puan Norena Jaafar yang mencadang supaya rakyat “kurangkan sikit makan telur” apabila harga telur naik. 

Sekiranya ini pendirian KPDNHEP, ini hanya menunjukkan bahawa kerajaan kurang sensitif terhadap derita rakyat dan kurang memahami perbezaan antara barang keperluan asas dan barang bukan keperluan asas.

Adakah kerajaan akan seterusnya menyaran rakyat kurangkan makan ayam, minyak, dan makanan keperluan asas lain apabila harga barang keperluan itu terus naik?

Apakah kerajaan mengharapkan rakyat makan nanti?

Memang tidak boleh dinafikan bahawa kenaikan harga turut disebabkan oleh pelbagai faktor luaran. Namun, kerajaan juga tidak mampu menyakinkan rakyat bahawa kerajaan telah melakukan usaha terbaik dalam merancang pelan mitigasi bagi membantu negara kita mengharungi masalah ekonomi.

Apa yang patut dikurangkan bukan telur tetapi bilangan ahli Jemaah Kabinet yang tidak mampu menjana idea bagi menyelesaikan masalah ekonomi yang dihadapi rakyat. – 2 Julai, 2022.

*Kerk Chee Yee adalah Adun Ayer Keroh, Melaka

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen