Terserah PM teruskan MoU dengan Pakatan atau tidak, kata Mat Sabu


Chan Kok Leong

MoU tiada tarikh luput. Ia hanya sebut tidak boleh diadakan pilihan raya umum sebelum akhir Julai, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 2 Julai, 2022.

PAKATAN Harapan menyerahkan kepada Perdana Menteri ismail Sabri Yaakob sama ada mahu meneruskan atau tidak persefahaman politik (MoU) antara kerajaan dan gabungan pembangkang itu kerana ia tiada tarikh tamat, kata Mohamad Sabu.

Presiden Amanah berkata persefahaman itu, yang dimeterai pada 13 September 2021, berlaku sehingga Parlimen dibubarkan.

“MoU tiada tarikh luput. Ia hanya sebut tidak boleh diadakan pilihan raya umum sebelum akhir Julai.

“Sekiranya tiada pilihan raya pada Julai, terserah kepada perdana menteri sama ada mahu meneruskannya atau tidak,” katanya kepada pemberita di Petaling Jaya.

Perjanjian yang diberi nama Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik dimeterai oleh pentadbiran Ismail Sabri yang mengambil alih kepimpinan Putrajaya selepas Muhyiddin Yassin letak jawatan perdana menteri pada Ogos 2021.

MoU itu merangkumi enam perkara antaranya untuk memperkasakan pelan menangani Covid-19, mengukuhkan sistem pentadbiran dan reformasi Parlimen, menjamin kebebasan institusi kehakiman, serta menguatkuasakan Perjanjian Malaysia 1963.

Mohamad menjawab soalan pemberita mengenai apa yang akan berlaku dengan MoU itu selepas 31 Julai ini.

“Kalau saya perdana menteri, saya mahu sampai habis penggal Jun tahun depan,” katanya, ketika ditemui selepas Sidang Nadi Rakyat.

Penggal Parlimen ke-14 dijadual berakhir pertengahan Julai 2023 dan pilihan raya umum perlu diadakan dalam masa 60 hari iaitu sebelum pertengahan September.

Ismail Sabri setakat ini tidak menyatakan secara terbuka hasratnya namun kumpulan pemimpin Umno yang dilihat dekat dengannya cenderung Parlimen dibubarkan tahun depan, manakala kumpulan yang dekat dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendesak agar diadakan segera. – 2 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen