Penunjuk perasaan Libya serbu bangunan Parlimen di Tobruk


Parlimen Libya, atau Dewan Rakyat, berpangkalan di Tobruk, ratusan kilometer timur ibu kota Tripoli, sejak perpecahan timur-barat pada 2014 berikutan pemberontakan yang menggulingkan diktator Muammar Gaddafi tiga tahun sebelumnya. – Gambar AFP, 2 Julai, 2022.

PENUNJUK perasaan menyerbu bangunan Parlimen Libya di bandar timur Tobruk pada Jumaat sebagai protes menentang keadaan hidup yang semakin merosot dan kebuntuan politik, lapor media Libya.

Beberapa saluran televisyen mendakwa penunjuk perasaan telah berjaya menembusi bangunan itu dan membuat vandalisme, manakala media menunjukkan imej tiang tebal asap hitam keluar dari kawasan berhampiran ketika penunjuk perasaan muda yang marah membakar tayar.

Laporan media lain mengatakan sebahagian daripada bangunan itu telah dibakar.

Bangunan Parlimen ditutup pada Jumaat sempena cuti hujung minggu.

Parlimen Libya, atau Dewan Rakyat, berpangkalan di Tobruk, ratusan kilometer timur ibu kota Tripoli, sejak perpecahan timur-barat pada 2014 berikutan pemberontakan yang menggulingkan diktator Muammar Gaddafi tiga tahun sebelumnya.

Sebuah badan lain, secara rasmi dikenali sebagai Majlis Tinggi Negara, berpusat di Tripoli.

Imej pada Jumaat menunjukkan seorang penunjuk perasaan yang memandu jentolak telah berjaya merempuh sebahagian daripada pintu pagar, membolehkan penunjuk perasaan lain masuk dengan lebih mudah, manakala kereta pegawai dibakar.

Kemudian penunjuk perasaan mula memecah dinding bangunan dengan peralatan pembinaan.

Penunjuk perasaan lain, ada yang mengibarkan bendera hijau rejim Gaddafi, melemparkan dokumen pejabat ke udara.

Libya mengalami beberapa hari pemadaman elektrik, diburukkan lagi dengan sekatan beberapa kemudahan minyak berlatarbelakangkan pergaduhan politik.

“Kami mahu lampu berfungsi,” laung penunjuk perasaan. – AFP, 2 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen