Mata pelajaran Sejarah membosankan?


PEMBENTANGAN laporan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) baru-baru ini mengejutkan banyak pihak. Di sebalik kejayaan membanggakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2021 yang mencapai keputusan cemerlang terdapat sekitar 10% calon yang boleh dianggap gagal.

Laporan KPM menyaksikan daripada 407,097 calon SPM secara keseluruhan, 12% calon gagal mendapatkan sijil kerana gagal matapelajaran wajib manakala 17% pula gagal mata pelajaran Sejarah. Lebih menyedihkan terdapat 6% calon SPM yang tidak hadir peperiksaan langsung.

Keadaan ini sungguh membimbangkan kerana ia dapat dimanifestasikan kepada kecenderungan kira-kira 10% calon SPM untuk gagal dan tidak menyukai mata pelajaran Sejarah.

Pujian patut diberikan kepada KPM kerana terus tegas untuk mempertahankan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus dalam peperiksaan SPM, kegagalan golongan belia untuk sekurang-kurangnya memahami sejarah (melalui mata pelajaran yang diajar di sekolah) bakal menyebabkan penghakisan semangat patriotik dan perpaduan.

Keadaan di mana golongan belia bukan sahaja gagal dalam mata pelajaran Sejarah malah tidak hadir untuk menduduki peperiksaan (dalam konteks SPM) menjadi hujah sesetengah pihak bahawa mata pelajaran tersebut membosankan.

Namun jika dilihat daripada sudut pandangan berbeza, tayangan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan telah menyangkal hujah bahawa golongan belia tidak sukakan sejarah, kehadiran golongan belia dengan busana tradisional untuk menonton filem tersebut menunjukkan kecenderungan sebenar golongan belia terhadap sejarah dan jati diri mereka.

Di sebalik keghairahan golongan belia meraikan tayangan filem tersebut, namun terdapat segelintir dari mereka yang gagal dalam matapelajaran Sejarah. Keadaan ini dapat ditafsirkan sebagai kegagalan untuk membangkitkan keghairahan golongan belia untuk mempelajari Sejarah secara akademik, namun minat dan kecenderungan sebenar golongan belia terhadap sejarah dan jati diri mereka di luar konteks akademik adalah sangat tinggi.

Memandangkan KPM sedang dalam proses mengkaji dan mencari pendekatan intervensi yang bersesuaian bagi mengurangkan kegagalan calon SPM dalam mata pelajaran Sejarah, adalah dicadangkan supaya usaha dilakukan bagi sebuah pendekatan pengajaran dibangunkan untuk guru mata pelajaran Sejarah supaya penyampaian dan pengajaran mereka mampu menarik minat pelajar.

Mata pelajaran Sejarah tidak boleh lagi menjadi sebuah pembelajaran yang mengingati tarikh-tarikh penting. Mata pelajaran tersebut sepatutnya menonjolkan sifat keperwiraan yang telah direkodkan oleh tokoh yang terkandung di dalam lipatan sejarah. Sejarah Melaka diingati dari sudut tarikh dan kejayaan Portugis menawan Kota Melaka, namun wira yang bermatian mempertahankan kota tersebut tidak pernah diketahui di dalam buku sejarah.

Naratif pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sejarah perlu diperbetulkan, masyarakat menghormati pegawai KPM yang bijaksana dalam merangka kurikulum mata pelajaran tersebut namun perlu diakui terdapat kelemahan cara pengajaran mata pelajaran Sejarah terkini yang boleh diperbaiki.

Majlis Belia Malaysia (MBM) sanggup bersama-sama KPM membantu menyumbang tenaga dan idea untuk memperbaiki kelemahan tersebut. Menjadi kepercayaan MBM bahawa mata pelajaran Sejarah perlu diperkasakan bagi memastikan masa depan Malaysia sebagai sebuah negara pada masa hadapan terus lestari dan berdaulat.

* Mohd Fauzi Fadzil, Exco Majlis Belia Malaysia (MBM)

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen