Annuar Musa bukan pemimpin terbaik tangani inflasi, kata Khalid Samad


Elill Easwaran

Kerajaan harus menarik balik keputusan mereka untuk menghapuskan subsidi, kata Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 1 Julai, 2022.

PELANTIKAN Annuar Musa bagi mengetuai pasukan petugas khas berkaitan inflasi bukanlah penyelesaian terbaik, malah beliau lebih menjadi masalah, kata Khalid Samad.

Khalid berkata, pertama sekali, kerajaan harus menarik balik keputusan mereka untuk menghapuskan subsidi.

“Memandangkan kita mempunyai memorandum persefahaman (MoU), mereka harus berbincang dengan pembangkang sebelum membuat keputusan,” kata Khalid semasa bantahan secara aman mengenai kos sara hidup yang tinggi di Masjid Jamek di Kuala Lumpur hari ini.

Pada Rabu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Kabinet bersetuju untuk membentuk Pasukan Petugas Khas Jihad Menentang Inflasi bagi membantu Keluarga Malaysia berdepan peningkatan kos sara hidup.

Annuar dipilih untuk mempengerusikan pasukan petugas itu dan keputusan tersebut dikritik ahli Parlimen pembangkang yang mengatakan tiada menteri atau ahli politik yang sesuai untuk jawatan itu kerana isu inflasi memerlukan pemikir yang sangat teknikal untuk mengendalikannya.

Mereka berkata ahli ekonomi dan teknokrat dari Bank Negara Malaysia harus mengetuai perjuangan negara menentang inflasi, sambil menambah Annuar adalah menteri komunikasi dan multimedia.

Khalid juga berkata sudah banyak masalah apabila Annuar menjadi menteri wilayah persekutuan.

“Beliau adalah seseorang yang akan mengutamakan apa yang beliau mahu dan bukan rakyat.”

Menteri lain dalam jawatankuasa itu ialah Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mustapa Mohamed, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi.

Sementara itu Adun Taman Templer Sany Hamzan memberi amaran Amanah akan mengadakan satu lagi bantahan sekiranya Putrajaya tidak menangani kenaikan kos sara hidup menjelang 16 Julai ini.

“Himpunan lebih besar akan diadakan pada 16 Julai ini sekiranya kerajaan gagal memenuhi tuntutan berkaitan krisis makanan yang dihadapi rakyat. – 1 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen