SEBUAH syarikat berpangkalan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) telah melancarkan susu formula bayi berasaskan unta, yang disebut-sebut sebagai yang pertama di dunia. Ia merupakan campuran serbuk segera yang disasarkan untuk bayi-bayi yang alah kepada susu lembu.
The Emirates Industry for Camel Milk & Products, atau “Camelicious”, hari ini melancarkan produk itu di Gulfood 2018, iaitu sebuah acara perdagangan mengenai makanan dan minuman antarabangsa yang berlangsung di Dubai dari 18 hingga 22 Februari ini.
Susu itu dikatakan sesuai bagi kanak-kanak berumur satu hingga tiga tahun.
Selama berabad lamanya, susu unta yang kaya dengan vitamin menjadi makanan utama bagi masyarakat Badwi.
Baik susu mahupun daging unta, kedua-duanya merupakan makanan istimewa di rantau Teluk kebelakangan ini.
Jika sebelum ini coklat susu unta, carpaccio unta dan burger unta, kini susu formula bayi berasaskan haiwan padang pasir itu akan berada di pasaran.
Syarikat yang menghasilkan produk itu berkata ia adalah “susu formula bayi pertama yang seumpamanya di dunia”.
“Susu unta mewakili bahagian penting budaya Arab dan Islam secara amnya, serta budaya dan warisan UAE (Emiriyah Arab Bersatu) secara khususnya,” kata Pengurus Besar Camelicious, Saeed Juma bin Subaih.
“Susu ini benar-benar melengkapi nilai dan tradisi UAE yang diturunkan dari satu generasi ke satu generasi.” – AFP, 20 Februari, 2018.
Komen