Penternak ayam berharap subsidi kerajaan diteruskan


Angie Tan

Penternak ayam berharap agar kerajaan meneruskan pemberian subsidi kepada mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Jun, 2022.

PENTERNAK ayam berharap kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi kepada mereka walaupun harga siling ayam baru diumumkan.

Mereka berkata walaupun kerajaan memperkenalkan harga siling baharu RM9.40, naik 50 sen daripada RM8.90, harga ayam daging tidak berubah.

“Harga ayam pedaging di negara jiran seperti Singapura dan Thailand semakin meningkat.

“Tetapi di sini, kerajaan mengawal harga tertinggi ayam tetapi mengekalkan harga yang sama untuk ayam pedaging,” kata penasihat Persekutuan Persatuan Peladang Ternakan Malaysia Jeffrey Ng kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun, kenaikan harga siling masih merupakan langkah positif, katanya.

“Kerajaan tidak meninggalkan kami kali ini dengan memutuskan untuk menaikkan harga siling,” katanya.

Semalam, Putrajaya mengumumkan harga siling baharu, berbeza dengan rancangan awalnya untuk mengapungkan harga ayam.

Telur ayam di semenanjung juga akan mempunyai harga siling baharu, yang mana telur Gred A berharga RM0.45 sebiji, Gred B RM0.43 sebiji dan Gred C RM0.41 sebiji.

Ng berkata beliau berharap kerajaan akan terus memberi subsidi kepada petani.

Persatuan itu akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa berkaitan dan pengumuman dijangka dibuat pada 1 Julai, katanya.

Sementara itu, pengerusi unit ayam daging persekutuan Kwei Yew Tong berpendapat harga baharu itu tidak cukup menyeluruh.

Dari segi subsidi, beliau berkata walaupun kerajaan berjanji untuk meneruskan pembayaran kepada mereka, jumlah itu belum diumumkan.

“Kami mahu mengekalkan subsidi pada RM1.40 sekilogram,” kata Kwei.

“Sekarang barang lebih mahal. Jika kita tidak mengekalkan subsidi ini, bagaimana kita akan terus menternak ayam?” soalnya.

Dari Februari hingga 30 Mac tahun ini, penternak ayam menerima subsidi sebanyak 60 sen sekilogram. Ini dinaikkan kepada RM1.40 dari 1 April hingga 30 Jun.

Selain subsidi, masalah kekurangan buruh yang berpanjangan juga melanda industri, kata Kwei.

“Sudah banyak kali kita bangkitkan isu ini tetapi masih belum selesai. Apabila pekerja kurang, produktiviti juga akan berkurangan.” – 30 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen