Presiden Parti Perpaduan Rakyat Sabah ditahan berhubung penipuan MyKad


Elill Easwaran

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zinudin berkata beliau berbincang dengan Ketua Polis Negara, dan memaklumkan unit khas untuk menyiasat perkara itu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Jun, 2022.

PRESIDEN Parti Perpaduan Rakyat Sabah Mohd Arshad Abdul Mualap ditahan kerana terlibat dalam penipuan kad pengenalan, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin hari ini.

“Sindiket ini mendakwa orang yang memegang kad yang dijual akan diberikan Kad Pengenalan Malaysia,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurutnya, beliau menerima maklumat daripada warga asing di luar negara berhubung sindiket ini.

“Sebaik sahaja kami mendapat maklumat itu, saya membincangkannya dengan Ketua Polis Negara, dan memaklumkan unit khas untuk menyiasat perkara itu.”

Seorang lagi individu bernama Mohamad Amkah Ahmad turut ditahan bersama Arshad.

Mereka dibawa ke mahkamah Shah Alam pagi ini untuk direman.

Hamzah berkata individu terbabit ditahan di rumah mereka di Subang Jaya.

“Siasatan awal mendapati ratusan individu telah ditipu oleh sindiket itu,” katanya.

Sementara itu, parti itu dipercayai telah wujud sejak 2006, tetapi hanya didaftarkan secara rasmi sebagai parti politik pada 2014.

Pada pilihan raya umum 2013, Arshad menentang ketua menteri ketika itu Musa Aman untuk kerusi Sibuga sebagai calon bebas, tetapi hanya mendapat 200 daripada 28,800 undi. – 30 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen