Salah faham punca ramai kanak-kanak Kelantan, Terengganu tidak divaksin Covid-19


Diyana Ibrahim

Risiko jangkitan dan kadar kematian akibat Covid-19 yang rendah di kalangan kanak-kanak menyebabkan ramai ibu bapa di Pantai TImur melihat tiada keperluan memberikan vaksin kepada anak mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Jun, 2022.

SALAH faham kononnya vaksin Covid-19 membahayakan kanak-kanak antara punca tidak ramai kelompok itu di Kelantan dan Terenganu mengambil vaksin berkenaan, kata pakar perubatan.

Salah faham itu menyebabkan ramai ibu bapa memberitahu The Malaysian Insight mereka keberatan untuk membenarkan anak divaksin, ditambah pula risiko jangkitan dan kadar kematian golongan itu di Malaysia tidak begitu tinggi.

Dekan Fakulti Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Dr Harmy Mohamed Yusoff berkata faktor itu menyebabkan ramai ibu bapa di Pantai Timur melihat tidak ada keperluan untuk anak mereka divaksin.

“Kita lihat sebab ibu bapa tak rasa kesan Covid-19 ini besar kepada-kanak-kanak jadi ramai daripada mereka menolak untuk membenarkan anak mereka divaksin, kerana mereka takut kesan vaksin itu.

“Tambahan pula apabila vaksin untuk kanak-kanak ini lambat dikeluarkan, lagilah buat mereka takut ingat sebab ada masalah padahal dari segi klinikalnya memang kita nak beri vaksin atau tumpukan kepada golongan dewasa dahulu kemudian kanak-kanak.

“Jadi isu ini adalah salah anggap, mereka bimbang ada kesan sampingan sedangkan kesan Covid-19 kanak-kanak tak begitu besar,” katanya.

Data CovidNow menunjukkan, Kelantan dan Terengganu antara negeri yang mencatatkan peratusan rendah kurang 10% bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) sejak ia mula dilaksanakan Februari lepas.

Kelantan mencatatkan kadar vaksin bagi kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun pada kadar 7.3% manakala Terengganu 9.9%.

Sementara itu kadar keseluruhan vaksin  dos lengkap kanak-kanak di seluruh negara pula mencatatkan 33.2%.

Mengulas lanjut, Harmy berkata data itu tidak menghairankan kerana kadar vaksinasi ketika ia mula dilancarkan untuk golongan dewasa Kelantan dan Terengganu juga sebelum itu antara yang perlahan dan terendah.

Pada Ogos 2021, Kelantan hanya mencatatkan 64.5% dewasa sudah divaksin manakala Terengganu pada kadar 79%.

Bagaimanapun beliau berkata biarpun data menunjukkan kesan jangkitan dan kematian bagi kanak-kanak tidak tinggi namun kebimbangannya  adalah kepada golongan yang berisiko.

Jelas beliau, kanak-kanak turut berisiko terdedah kepada sindrom keradangan multisistem akibat jangkitan Covid-19 melibatkan jantung, paru-paru dan otak.

“Biarpun peratusan kanak-kanak mengalami komplikasi ini tidak besar, namun kita bimbang sekiranya berlaku (jangkitan) risikonya sangat bahaya.

“Kerana itu pakar perubatan melihat vaksin Covid-19 sebagai pencegahan, tambah pula dengan ramalan akan berlakunya sekali lagi gelombang Covid-19 di negara kita yang kita bimbang akan memberi kesan kepada golongan berisiko ini,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan kerajaan perlu memperbaiki pendekatan dengan memberi tumpuan vaksin kepada golongan kanak-kanak berisiko sebagai persediaan menghadapi gelombang semula Covid-19.

Selain itu, katanya kerajaan juga perlu memperbaiki kelemahan komunikasi atau penerangan kepada rakyat.

“Faktor komunikasi ini juga merupakan salah satu sebab mengapa ibu bapa ragu-ragu untuk memberi vaksin kepada anak mereka.

“Kalau kita tengok kempen atau promosi pengambilan vaksin ini tidak begitu besar dan meluas seperti mana golongan kanak-kanak. Kajian bagi golongan kanak-kanak juga agak terhad,” katanya.

Ketua Amanah Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim berkata trend peratusan kadar vaksin bagi kanak-kanak yang rendah di Kelantan dan Terengganu itu tidak mengejutkan.

“Ada kajian sebelum ini pernah dibuat, kajian mengenai penolakan vaksin atau imunisasi kanak-kanak pada 2013 hingga 2016b menunjukkan Kelantan dan Terengganu antara yang tertinggi menolak program itu.

“Kajian tersebut menunjukkan antara alasan ibu bapa menolak vaksin yang paling tinggi kerana bimbang dengan status halal haram selain faktor kesan sampingan. Ada sesetengah mereka merasakan lebih baik gunakan kaedah pencegahan semula jadi untuk mencegah penyakit,” kata doktor perubatan itu.

Beliau berkata situasi itu sebenarnya hampir sama dengan penolakan vaksin Covid-19 menyebabkan majoriti ibu bapa mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

Hafidzah berkata faktor besarnya ialah ibu bapa melihat dari sudut keselamatan anak-anak mereka biarpun ada kajian menyatakan kesan atau risiko tidak besar selain penyebaran maklumat tidak betul.

Katanya, program vaksinasi menunjukkan kejayaan tetapi sebahagian masyarakat memilih mempercayai sebaliknya.

“Mereka mendapat maklumat mungkin lebih kurang sama tapi cara mereka memahami sedikit berbeza dari negeri lain,” katanya. – 30 Jun, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen