Saya akan menjelma di banyak kawasan, kata Dr Mahathir


Amin Iskandar Noel Achariam

Dr Mahathir Mohamad turut mempersoalkan mengapa berlaku pertambahan pengundi yang besar di kerusi Parlimen Pekan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 20 Februari, 2018.

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad mengatakan akan “menjelma di banyak kawasan” termasuk Putrajaya dan Pekan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bekas perdana menteri itu berkata demikian ketika ditanya pemberita kerusi manakah beliau akan tandingi pada PRU14.

“Jadi kita nak bagitau pada Najib (Razak), saya akan menjelma di banyak kawasan-kawasan termasuk Putrajaya. 

“Saya dah pergi Putrajaya, nampak saya cukup popular di sana. Ambil gambar tak berhenti-henti. Tempat lain pun saya akan pergi jugak. 

“Saya nak pergi ke Pekan. Pekan memanglah… Alor Setar pun ada pekan jugak. Tapi saya nak ke Pekan, tengok orang-orang Pekan,” kata Dr Mahathir pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di Petaling Jaya hari ini.

Ini merupakan kemunculan pertama Dr Mahathir dalam program PH selepas dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) minggu lalu. 

Menurut Dr Mahathir menjadi tanda tanya kepada beliau mengapa berlaku pertambahan pengundi yang besar di kerusi Parlimen Pekan.

“Dulu ada 35,000 pengundi di Pekan, sekarang ada 80,000.

“Jadi saya nak tahu siapa yang tambah-tambah ni, di mana dia duduk? Ini sedang dikaji oleh kita,” katanya.

Kerusi Parlimen Pekan merupakan kerusi kepada Najib yang juga perdana menteri Malaysia keenam.

Mengulas mengenai peruntukan RM1.3 bilion yang diumumkan Najib untuk Langkawi minggu lalu, Dr Mahathir berkata ia bertujuan untuk memastikan beliau kalah di kerusi Parlimen itu. 

Secara sinis Dr Mahathir berkata, beliau juga akan bertanding di Kubang Pasu bagi memastikan kawasan itu mendapat peruntukan sama.

“Saya juga nak tanding di Kubang Pasu supaya dia bagi peruntukan lagi. 

“Bagi macam- macam hadiah bagi kepada bakal pengundi di Langkawi umpamanya ada satu menteri muda dia bagi motosikal, macam-macam dia bagi percuma kononnya nombor bertuah. 

“Tapi orang yang hadir itu terlalu sedikit sehingga tiap-tiap satu orang dapat 3 hadiah, pasal hadiah dia lebih banyak daripada orang,” katanya. – 20 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen