Pakatan selesai pembahagian kerusi 4 negeri


Amin Iskandar Noel Achariam

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad pada sidang media di Petaling Jaya bersama pemimpin kanan pakatan itu berkata pembahagian kerusi di empat negeri menjelang PRU14 sudah selesai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 20 Februari, 2018.

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad berkata gabungan pembangkang itu sudah menyelesaikan pembahagian kerusi di empat negeri.

Beliau berkata bagi negeri-negeri yang masih belum menyelesaikan pembahagian kerusi, mereka mempunyai masa sehingga hujung minggu ini untuk berbuat demikian.

“Bagi kerusi di peringkat negeri kita masih ada beberapa kawasan yang masih belum diputuskan.

“Kita sudah bersetuju kerusi negeri akan ditentukan pada hujung minggu ini dan sekiranya tidak, Majlis Presiden yang akan ditentukan,” kata Dr Mahathir pada sidang media di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya hari ini.

“Selepas Majlis Presiden membuat keputusan, semua parti mestilah menerimanya.”

Dr Mahathir bagaimanapun enggan menamakan empat negeri tersebut.

“Jika saya beritahu, awak akan beritahu Najib,” kata Dr Mahathir merujuk kepada Perdana Menteri Najib Razak.

Pada sidang media sama, Dr Mahathir berkata PH tidak terikat dengan kenyataan pemimpinnya mengenai manifesto dan hanya yang secara realistik dapat dilaksanakan saja akan ditawarkan.

“Kita sedar sebelum kita menyiapkan manifesto ramai juga daripada pemimpin Pakatan Harapan yang telah buat kenyataan tertentu.

”Kita tidak terikat dengan kenyataan yang dibuat oleh pemimpin tertentu jika kita dapati kenyataannya tidak dapat dilaksanakan oleh kita apabila kita menerajui kerajaan,” katanya.

Dr Mahathir berkata PH sedang membuat pindaan kepada manifesto sebelum dilancarkan tidak lama lagi.

“Kita sudah membuat 60 janji dan kita harap kita akan dapat laksanakan walaupun mungkin tidak seperti yang diharapkan oleh rakyat.

”Tetapi kita tentukan keupayaan kita untuk melaksanakan sesuatu kita sedar bahawa tindakan Najib Razak meletakkan kerajaan dalam keadaan kekurangan kewangan kerana kita perlu bayar hutang dan sebagainya.

“Oleh itu kita berpendapat kewangan kerajaan mungkin tidak boleh menampung janji yang keterlaluan sebab itu kita akan membuat janji setakat yang mampu saja dan kita akan mengeluarkan manifesto ini tidak lama lagi,” katanya. – 20 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen