PENGUMUMAN Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin pada 27 Jun 2022 mengenai Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalah Bantut dalam Kalangan Kanak-kanak 2022-2030 yang baru diluluskan adalah sebuah pengumuman besar yang patut diberi perhatian.
.jpg)
Untuk pertama kalinya, sebuah Jawatankuasa merangkumi empat kementerian iaitu Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM) serta Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan meneliti isu ini secara bersepadu melalui Jawatankuasa Khas Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Dalam Kanak-Kanak di Malaysia.
Sejak 2015 nasib kanak-kanak bantut tidak pernah mendapat perhatian mana- mana pihak berwajib. Sindrom penafian dikalangan pihak berwajib seperti Kementerian, warga birokrat Kerajaan serta ahli politik akhirnya telah menyebabkan isu kanak-kanak bantut ini semakin parah saban tahun kerana tiada tindakan proaktif diambil dalam skala nasional untuk membendung masalah tersebut. Situasi ini menjadikan peratusan kanak-kanak bantut sehingga 17 peratus pada 2015 meningkat naik kepada 21.8 peratus pada 2019.
Lebih menakutkan, masalah kebantutan dalam kalangan kanak-kanak ini juga sebenarnya turut memberi impak kepada perkembangan psikomotor, psikologi, sosial, darjah kecerdasan otak (IQ) serta darjah kecerdasan emosi (EQ) kanak- kanak.
Untuk Malaysia berpandangan nasib kira-kira 4 juta kanak-kanak (23.7 peratus) yang bergantung kepada bilangan makanan yang murah dan terhad pada hari ini berisiko untuk menjadi bantut dan menjadi statistik bantut pada tahun seterusnya.
Ini adalah kerana Unicef mengunjurkan sehingga 20.8 peratus (3.5 juta) isi rumah melaporkan ketidakupayaan memberi makanan berzat kepada kanak-kanak kerana kekangan kewangan. Juga harus diingatkan, pasca pandemik Covid-19 dianggarkan 9.76 juta atau 30 peratus daripada rakyat Malaysia akan mengalami masalah kekurangan makanan akibat tekanan ekonomi yang tidak menentu.
Namun yang demikian, bergerak dari sindrom penafian ini hanya sebuah langkah awal. Cabaran sebenar bermula di peringkat pelaksanaan terutama untuk membendung isu harga susu yang terlalu tinggi. Akibatnya ramai keluarga dari golongan B40 tidak mampu untuk membeli susu dan meningkatkan jumlah kanak- kanak bantut dalam negara ini. – 29 Jun, 2022.
*Untuk Malaysia adalah sebuah NGO “Gerakan Perubahan Pendidikan”. Untuk sebarang pertanyaan lanjut hubungi Untuk Malaysia di talian 016-2309256.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen