Syarikat gitar Gibson berdepan krisis kewangan


Gitar Gibson SG yang pernah dimiliki pemain gitar Beatles, George Harrison diletakkan di rumah lelongan Christie di London pada 2004. – Gambar AFP, 20 Februari, 2018.

PEMBUAT gitar terkemuka dunia, Gibson yang pernah dimainkan artis terkenal seperti John Lennon dan Elvis Presley sedang berdepan krisis kewangan serius yang mampu menggugat kewujudannya.

Syarikat di Nashville, Tennessee sejak 1894 itu melantik seorang pengarah kewangan baharu, Benson Woo, semalam untuk menyelamatkannya.

Gibson Brands yang turut menjual sistem audio untuk pemain profesional dan orang awam dalam proses mencapai persetujuan dengan bank pelaburan untuk menyelia satu pembiayaan semula hutang, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Sehingga awal Ogos ini, hutang tertunggak kumpulan itu dijangka mencecah AS$375 juta (RM1.4 bilion), lapor Nashville Post.

“Walaupun segmen alat muzik dan pro audio agak menguntungkan dan berkembang, ia masih di bawah tahap kejayaan yang pernah kita lihat beberapa tahun lalu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Henry Juszkiewicz dalam kenyataan itu.

Beliau berkata sebagai sebahagian daripada kajian semula strategi perniagaannya, syarikat itu terus memperkemas perniagaan audio pengguna jenama Philips sambil menghapuskan beberapa produk yang kurang menonjol.

Katanya, Gibson menjangkakan strategi ini akan membawa kepada keputusan kewangan terbaik pernah dilihat syarikat itu dalam sejarahnya menjelang tahun depan, dengan bayaran penuh hutang syarikat dilangsaikan dalam tempoh beberapa tahun.

Antara bintang yang pernah menggunakan instrumen Gibson ialah artis blues B.B. King, Keith Richards (Rolling Stone) dan Jimmy Page dari Led Zeppelin.

Gibson menghasilkan antara model gitar paling berprestij di dunia, dikenali sebagai Les Paul. – AFP, 20 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen