Fahmi Reza bersalah edit imej PM dengan muka badut


MAHKAMAH Sesyen Ipoh hari ini menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap pereka grafik Fahmi Reza dan diperintahkan membayar denda RM30,000 kerana memuat naik gambar Perdana Menteri Najib Razak yang disunting dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Fahmi menulis tweet mengenai keputusan mahkamah itu di akaun Twitter miliknya.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu menerusi akaun Facebooknya, “Fahmi Reza”, pada 8 Februari 2016.

Pautan itu kemudian didakwa dibaca di sebuah alamat di Seraya Sdn Bhd, Batu 3, Jalan Jelapang, di Ipoh, pada 2.40 petang, tarikh yang sama.

Mohd Fahmi Reza didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam Syahredzan Johan yang membela Fahmi Reza berkata pihaknya akan memfailkan rayuan. Hukuman ditangguhkan dengan jaminan bon RM10,000. – 20 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen