Rakyat Singapura terima angpau hingga RM1,000


Singapura akan membayar bonus kepada rakyatnya berusia 21 tahun ke atas antara S$100 (RM390) dan S$300 pada akhir tahun ini. – Gambar AFP, 20 Februari, 2018.

WARGA Singapura berusia 21 tahun ke atas tahun ini akan menerima bonus angpau antara S$100 (RM390) dan S$300 daripada kerajaan susulan republik itu menjangkakan lebihan bagi tahun kewangan semasa.

Rakyat Singapura dewasa dengan pendapatan tahunan sehingga S$28,000 akan menerima S$300 setiap seorang sementara mereka yang memperoleh antara S$28,001 dan S$100,000 akan diberi S$200. Bagi yang berpendapatan lebih S$100,000 setahun akan menerima S$100.

Sesiapa yang memiliki lebih daripada satu hartanah layak menerima S$100 tanpa mengira berapa jumlah pendapatan.

Jumlah keseluruhan bayaran yang akan dibuat pada hujung tahun itu ialah S$700 juta.

“Pemberian bonus ini menunjukkan komitmen kerajaan Singapura dalam berkongsi hasil daripada pembangunan yang dinikmati selama ini,” kata Menteri Kewangan Heng Swee Keat yang membentangkan Bajet 2018 semalam, pada hari keempat sambutan Tahun Baru Cina.

Heng berkata kerajaan menjangkakan surplus bajet keseluruhan berjumlah S$9.6 bilion (RM28.45 bilion) untuk tahun kewangan 2017 iaitu lebih tinggi berbanding ramalan awal S$1.9 bilion (RM5.63 bilion).

Ini bukan kali pertama rakyat Singapura memberi bonus. Pada tahun sebelum ini, bayaran sehingga S$800 diberikan dalam bentuk dividen.

Pada 2011, warga Singapura dewasa dengan pendapatan sehingga S$30,000 menerima S$800 sementara bagi yang memperoleh lebih S$100,000 menerima S$100.

Dividen antara S$100 hingga S$700 diberikan kepada warga dewasa Singapura pada 2008. – TodayOnline, 20 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen