WANITA warga Malaysia yang anak mereka dilahirkan di luar negara masih berdepan kesukaran untuk mendapatkan pengiktirafan kewarganageraan untuk anak walaupun keputusan Mahkamah Tinggi berpihak kepada mereka.
Antara yang ditemubual The Malaysian Insight memberitahu mereka terpaksa menunggu bertahun-tahun tetapi masih tidak mendapat apa yang dipohon kepada pihak berkuasa berkenaan.
Ketidaktentuan yang terlalu lama itu menyebabkan anak dan ibu bapa mereka berdepan kesukaran, tiada kewarganegaraan dan menambah beban kewangan.
Esther Teo, 35, cuba memohon kewarganegaraan untuk anak perempuan sulungnya di Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Frankfurt, Jerman pada 2015 tetapi diberitahu perlu menunggu dua tahun.
Kini, tujuh tahun berlalu, anaknya itu masih belum menerima status warganegara.
“Selepas anak saya lahir, saya mendaftarkan dia menerusi Akta 15(2) perlembagaan di Frankfurt dan saya diminta menunggu dua tahun,” kata Teo kepada The Malaysian Insight.
“Saya tidak ada pilihan. Saya tunggu dan dimaklumkan permohonan saya masih diproses. Kemudian mereka beritahu kami untuk membuat susulan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), dan pada masa itu saya akan telefon dan emel. Sepanjang tempoh ini mereka suruh kami tunggu.
“Bila saya balik setiap tahun, saya akan datang ke pejabat KDN untuk tanya. Selama ini, saya memang selalu menghubungi mereka.
“Pada 2019, saya kerap memberi tekanan kepada mereka dan pada 2020 saya menerima surat penolakan permohonan saya tanpa sebarang sebab diberikan.
“Saya membuat permohonan sekali lagi selepas ia ditolak, dan baru-baru ini, saya mohon lagi mengikut Artikel 14, pada Mac.”
Kisah teo dan beberapa ibu warganegara Malaysia di mana anak mereka lahir di luar negara bersama pasangan warga asing, mendedahkan tentang berat sebelah jantina dalam amalan mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.
Undang-undang ini tidak jelas berkenaan interpretasi terhadap kesaksamaan jantina, dan KDN setakat ini memilih untuk mendiskriminasi wanita.
Cubaan pertama Teo untuk mendaftarkan anak perepuannya di bawah Artikel 15(2), di mana peruntukan perlembagaan menyatakan individu di bawah umur 21 tahun dan mempunyai salah seorang ibu bapa warga Malaysia, boleh didaftarkan sebagai warganegara menerusi permohonan kepada kerajaan.
Apabila beliau mencuba seklai lagi baru-baru ini, bahagian relevan di Artikel 14 di mana beliau membuat permohonan, menyatakan individu adalah warganegara menerusi pelaksanaan undang-undang jika beliau lahir di luar Malaysia dengan ibu atau bapa adalah warga Malaysia.
Mengikut amalannya, kerajaan memilih untuk mengambil “bapa”, di mana keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada September lalu memutuskan peruntukan perlembagaan terhadap hak kewarganegaraan perlu dibaca bersama peruntukan terhadap diskriminasi jantina.
Atas alasan itu, Hakim Akhtar Tahir memutuskan perkataan “bapa” perlu dibaca untuk memasukkan ibu dan anak mereka layak mendapat kewarganegaraan berdasarkan kepada pelaksanaan undang-undang.
Hakim berkenaan membuat keputusan itu bagi kes difailkan enam ibu warganegara Malaysia serta Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & KL (Family Frontiers).
Bagaimanapun, kerajaan membuat rayuan terhadap keputusan itu. Mahkamah Rayuan akan menyampaikan keputusan pada 5 Ogos. – 29 Jun, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen