Umno bergolak, PH jangan bersorak


RIUH rendah semalam apabila salah seorang MKT Umno yang digugurkan beberapa hari lalu iaitu Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman membuat pendedahan mengejutkan apabila menyatakan bahawa beliau bersama beberapa orang ahli Umno yang lain menandatangani akuan bersumpah menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Sejujurnya ini bukanlah perkara mengejutkan kerana sebelum ini Nazri Aziz pernah mendedahkan hal yang sama. Malah selepas pendedahan tersebut, apa yang terjadi perebutan kuasa dalam kalangan ahli Umno makin menjadi-jadi hingga tercetusnya beberapa pilihan raya kecil iaitu di Melaka, Johor dan Sabah.

Saya rasa pergolakan dalaman Umno tidak perlulah pembangkang beriya ulas kerana kita sendiri masih lagi terkapai-kapai untuk bersatu dalam gagasan “pembangkang”.

Mungkin PH perlu kuatkan perpaduan dalam komponen parti PH dahulu. Ketika kerajaan masih lagi berantakan, kita perlu mengambil peluang ini untuk menguatkan PH, bukan sebaliknya.

Mungkin benar Anwar orang yang berprinsip sehingga rela ditipu berkali-kali tetapi naratifnya agak mengecewakan kerana beliau menerima sokongan daripada geng kleptokrat sendiri walaupun anggota akar umbi PKR menolak cadangan ini.

Malah gerakan anti-establishment seperti Rafizi Ramli akhirnya menang pada pemilihan parti lalu akibat percaturan kuasa yang tidak menguntungkan rakyat malah imej beliau sendiri.

Saya rasa ada kebenaran pada dakwaan Rafizi sebelum ini.

Malah, jika benar pun presiden PKR itu mendapat sokongan ia bukanlah sesuatu perkara yang dibanggakan ketika ini. Pada hakikatnya sehingga hari ini beliau gagal menempatkan diri menjadi perdana menteri akibat ditipu. Untuk ini saya menyalahkan individu-individu yang memberi nasihat tidak sepatutnya kepada Anwar Ibrahim.

Saya rasa sudah tidak perlu kita merayakan pergolakan dalaman parti kerajaan hari ini. Hakikatnya kita masih lagi gagal menambat hati para pegundi untuk mengundi kembali PH.

Umno mahupun PAS adalah dua parti yang mempunyai kekuatan akar umbi; hanya dengan menggunakan sentimen Islam dan Melayu sudah pasti mendatangkan mudarat yang besar buat PH. Jadi, kita perlu bersedia menentang kebodohan yang cuba disebarkan dahulu.

Lebih baik kita fokus tentang kekuatan diri kita berbanding melihat kelemahan lawan. Tanpa kesatuan pembangkang yang kuat, sukar kita untuk menembusi ke Putrajaya jika kita terus leka. – 28 Jun, 2022.

* Yuslaini Azmi, Setiausaha PKR Cabang Batu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen