Isu azan, Arab Saudi larang wartawan menulis


Arab Saudi mengeluarkan perintah larangan terhadap seorang wartawan kerana mengeluarkan kenyataan negatif berkaitan laungan azan dan jumlah masjid di negara itu. – Gambar EPA, 20 Februari, 2018.

ARAB Saudi semalam mengeluarkan perintah larangan terhadap seorang wartawan kerana mengeluarkan kenyataan negatif berkaitan azan yang dilaungkan untuk mengajak umat Islam menunaikan solat, lapor agensi berita China Xinhua memetik portal berita online tempatan, Sabq.

Mohamed Al Suhaimi, dilarang daripada melakukan aktiviti penulisan dan media dan dirujuk kepada jawatankuasa siasatan.

Mohamed, wartawan di akhbar pro kerajaan Al-Watan menyuarakan sokongannya terhadap desakan kontroversi supaya pembesar suara tidak digunakan ketika melaungkan azam dan khutbah serta mengurangkan jumlah masjid di negara itu.

Portal The New Arab melaporkan Mohamed ketika bercakap kepada saluran berita MBC, yang berpangkalan di Dubai berkata laungan azan yang kuat menakutkan kanak-kanak dan negara itu secara keseluruhan.

Wartawan itu berkata masjid juga terlalu banyak, dan dengan nada mengejek berkata tiada orang pun yang datang berjemaah di masjid pada waktu subuh.

Portal itu melaporkan Mohamed turut mengkritik pihak berkuasa agama kerana gagal mengguna pakai larangan terhadap penggunaan pembesar suara di masjid, menuduh mereka tunduk kepada kehendak Gerakan Sahwa, yang menurutunya ada kaitan dengan Ikhwanul Muslimin.

Putera Mahkota Mohammed Salman yang sangat berkuasa di negara itu pada masa ini, menahan beberapa ulama yang dikaitkan dengan gerakan reformis, termasuk Sheikh Salman al-Awdah, yang dilihat sebagai seorang berpandangan sederhana.

Ulasan Mohamed itu menyebabkan kemarahan dengan ramai pengguna media sosial mendesak kerajaan mengambil tindakan terhadapnya kerana melakukan hasutan terhadap agama.

Pada 2009, Arab Saudi cuba menghentikan penggunaan pembesar suara yang terlalu kuat ketika azan. Laungan azan adalah bahagian penting dalam kehidupan seorang umat Islam.

Kebanyakan masjid dan khutbah imam di Arab Saudi disiarkan menerusi sistem bunyi awam, bagi membolehkan mereka yang tidak dapat ke masjid boleh mendengarnya dari rumah atau di jalanan, lapor portal itu. – 20 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen