Empat maut, berpuluh cedera grandstan festival lembu runtuh di Colombia


Pandangan udara grandstan yang runtuh dalam gelanggang lembu jantan di El Espinal di Colombia, barat daya Bogotá, Colombia yang mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang dan 30 lagi cedera parah. – Gambar AFP, 27 Jun, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA empat orang terbunuh dan 30 lagi cedera parah pada Ahad apabila grandstan di gelanggang lembu jantan di Colombia runtuh ketika acara popular di mana orang ramai berdepan dengan lembu jantan kecil, kata pegawai.

“Empat orang mati buat masa ini – dua wanita, seorang lelaki dan seorang kanak-kanak,” kata gabenor jabatan Tolima, Jose Ricardo Orozco, kepada radio tempatan selepas kejadian di pusat bandar El Espinal.

Satu bahagian grandstan tiga tingkat kayu yang dipenuhi penonton runtuh, menghempaskan berpuluh-puluh orang ke tanah, menurut imej yang disiarkan di media sosial.

Satu lagi video yang diambil oleh penonton di tempat kejadian menunjukkan orang ramai cuba melarikan diri dari situ sementara seekor lembu jantan terus berkeliaran di arena.

“Terdapat kira-kira 30 orang cedera parah… itu laporan awal,” kata Orozco, menyatakan kakitangan kecemasan masih memindahkan mangsa yang cedera ke hospital untuk rawatan.

Pegawai pertahanan awam tempatan Luis Fernando Velez berkata mereka tidak tahu berapa ramai orang yang masih tertimbus, tetapi menyatakan bahagian grandstan itu penuh apabila ia runtuh.

Acara itu sebahagian daripada fesival San Pedro, yang paling popular di rantau tersebut.

“Kami akan minta siasatan tentang apa yang berlaku,” kata Presiden Colombia yang akan berundur, Ivan Duque di Twitter, menyatakan solidaritinya dengan keluarga yang terbunuh dan cedera. – AFP, 27 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen