Nigeria hukum lebih 200 suspek terlibat Boko Haram


Boko Haram melancarkan pemberontakan pada 2009 yang membunuh kira-kira 20,000 orang dan mengusir hampir 2.6 juta penduduk, mewujudkan salah satu krisis kemanusiaan terbesar di dunia. – Gambar EPA, 120 Februari, 2018.

LEBIH 200 individu di Nigeria disabitkan dengan pertuduhan terlibat dalam kumpulan militan Boko Haram, kata Kementerian Keadilan pada Isnin.

Sabitan ke atas sejumlah 205 individu dalam perbicaraan beramai-ramai itu menandakan tamatnya peringkat kedua cabaran perundangan terbesar di Nigeria terhadap Boko Haram, yang memulakan pemberontakan pada 2009 bagi mewujudkan sebuah negara Islam di timur laut Nigeria.

“Kebanyakan mereka disabitkan bagi kesalahan mengaku menganggotai kumpulan pengganas itu, (atau) menyembunyikan maklumat mengenai kumpulan tersebut, yang mereka tahu atau percaya boleh membantu membawa kepada penahanan, pendakwaan atau sabitan terhadap anggota Boko Haram,” menurut kenyataan kementerian itu.

Hukuman penjara yang dijatuhkan adalah antara tiga hingga 60 tahun.

Kenyataan itu juga menyebut sejumlah 526 individu yang didakwa bersekutu dengan Boko Haram dibebaskan untuk pemulihan manakala 73 kes lagi ditangguh.

Lebih 20,000 orang terbunuh manakala dua juta lagi terpaksa meninggalkan rumah mereka sejak pemberontakan itu meletus.

Menurut kementerian itu, sesetengah individu yang kes mereka didengar minggu lepas di sebuah pusat tahanan di pusat bandar Nigeria ditahan tanpa perbicaraan sejak 2010, manakala beberapa orang lagi dibebaskan kerana kekurangan bukti.

Pada Oktober, kementerian itu berkata sejumlah 45 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan Boko Haram disabit dan dihukum penjara.

Sejumlah 468 suspek lain dibebaskan manakala 28 lagi ditahan reman untuk perbicaraan di Abuja atau Minna. – Bernama, 20 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen