Ismail Sabri bukan lemah tapi tunjuk kuasa PM, kata penganalisis


Diyana Ibrahim

Ismail Sabri masih belum memutuskan kedudukan Zuraida dalam kabinetnya selepas sebulan Ahli Parlimen Ampang itu mengumumkan keluar Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2022.

ISMAIL Sabri Yaakob tidak boleh dianggap perdana menteri yang lemah hanya kerana belum memutuskan kedudukan Zuraida Kamaruddin dalam kabinetnya, sebulan selepas Ahli Parlimen Ampang itu keluar Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), kata penganalisis politik.

Ismail Sabri sebaliknya sedang menunjukkan kuasa prerogatifnya sebagai perdana menteri dalam soal pelantikan menteri, kata mereka, selain mengelak untuk memberi petunjuk kepada desakan Umno supaya Parlimen dibubarkan segera.

Pensyarah politik di Universiti Teknologi Malaysia Dr Mazlan Ali berkata perdana menteri boleh dianggap lemah dan berlengah membuat keputusan sekiranya Zuraida mengugut akan menarik sokongan jika digugurkan dari kabinet.

Namun ugutan itu tiada, malah sebenarnya isu kedudukannya dalam kabinet lebih merupakan masalah antara Zuraida dengan bekas partinya Bersatu dan bukan krisis perdana menteri, katanya.

“Apa-apa pun hak perdana menteri untuk menentukan siapa menteri kabinet, itu hak prerogatif beliau.

“Bersatu kenalah berunding dengan perdana menteri sebab Bersatu tidak boleh paksa Ismail kerana ia memang kuasa perdana menteri.

“Tapi apa yang kita nampak perdana menteri macam tak berapa nak layan presiden Bersatu Muhyiddin Yassin kerana masih belum ada pertemuan dapat dibuat,” katanya.

Minggu lepas, Muhyiddin berkata beliau sudah “lama” menunggu untuk temu janji dengan Ismail Sabri bagi membincangkan kedudukan Zuraida, yang dilantik menteri atas kuota Bersatu.

“Saya fikir sudah lebih dua minggu dan terlalu panjang untuk saya tunggu. Sewajarnya perkara itu diputuskan segera oleh perdana menteri,” katanya, seperti dipetik media Selasa lepas.

Muhyiddin berkata Ismail boleh mengekalkan Zuraida dalam kabinetnya tetapi bukan dengan mengambil kuota menteri Bersatu.

Mazlan berpendapat Ismail mungkin tidak rasa tergugat atau bimbang isu ini akan menjejaskan kedudukannya sebagai perdana menteri.

“MoU dengan pembangkang yang sebabkan kerajaan stabil,” katanya, merujuk Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan yang berjalan sehingga Parlimen bubar.

Minggu lalu, selepas kenyataan Muhyiddin,  Timbalan Ketua Umno Johor Nur Jazlan Mohamed menyifatkan Ismail Sabri perdana menteri “lemah” kerana lewat membuat keputusan mengenai kedudukan Zuraida.

Ismail tidak boleh buat keputusan atau menegaskan kuasanya kerana menjadi ‘tebusan’ pihak tertentu.

Kenyataan Nur Jazlan dibidas oleh beberapa pemimpin Umno antaranya menteri kabinet Annuar Musa dan Khairy Jamaluddin, yang menyifatkan kritikan seperti itu tidak harus dibuat secara terbuka.

Beberapa pemimpin Umno akar umbi termasuk sayap Pemuda turut mempertahankan Ismail Sabri. Antaranya, Ketua Umno Lipis Abdul Rahman Mohamad, yang juga timbalan menteri dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno dan Ketua Umno Paya Besar Ahmad Tajuddin Sulaiman yang menyifatkan Jazlan sebagai “biadab”.

Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid pula kesal kerana kenyataan Jazlan tidak wajar ketika Umno sedang mengumpulkan kekuatan menuju PRU15.

Zuraida dilantik sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi sebelum ini atas kuota Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2022.

Lengah

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar melihat kelengahan Ismail Sabri membuat keputusan mengenai kedudukan Zuraida ada kaitan dengan isu pembubaran Parlimen yang ditekan oleh Umno.

“Jika berlaku rombakan kabinet seolah-olah perdana menteri bersetuju untuk memanjangkan tempoh pentadbiran beliau semaksimum mungkin sehingga habis penggal,” katanya.

Hisomuddin melihat kalau Ismail Sabri mahu menggantikan Zuraida beliau sudah melakukannya dan tidak membiarkan menterinya itu hadir ke mesyuarat kabinet seperti biasa untuk beberapa minggu.

“Semua itu saya rumuskan bahawa sebenarnya perdana menteri mempunyai kuasa yang prerogatif dan beliau menghitung pandangan pelbagai pihak.

“Mungkin ini strategi Ismail juga, apa sahaja keputusan beliau buat akan memberi isyarat atau petunjuk sama ada pilihan raya dekat atau lambat.

“Jika beliau melakukan rombakan menggantikan Zuraida ia seperti menafikan tuntutan partinya untuk mengadakan pilihan raya umum dengan segera,” katanya.

Tambahnya ramai juga melihat tindakan Ismail untuk menlengahkan itu sebagai strategi untuk memastikan kumpulan pemimpin kluster mahkamah seperti presiden, Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak dapat disabitkan di mahkamah..

Menurut Hisomuddin, kelengahan Ismail Sabri ini mengingatkan tindakan sama Abdullah Ahmad Badawi yang lewat menamakan Najib Razak sebagai timbalannya.
Abdullah jadi perdana menteri pada 31 Oktober 2003, menggantikan Dr Mahathir Mohamad yang letak jawatan. Beliau hanya menamakan Najib sebagai timbalan perdana menteri pada awal Januari 2004.

Dalam pada itu, pensyarah politik di Universiti Sains Malaysia, Azmil Tayeb tidak melihat kepentingan politik Zuraida sehingga Ismail Sabri terus mengekalkannya dalam kabinet.

Katanya, biarpun ada parti baharu dan menjalin rangkain dengan badan bukan kerajaan (NGO), PBM belum lagi dilihat menggugat parti tradisional yang lain.

“Sejarah pilihan raya di Malaysia menunjukkan parti-parti kecil hampir tidak pernah berjaya dalam pilihan raya. Tambahan pula, Zuraida dan agendanya hanya mampu bertanding di kawasan bandar yang didominasi pembangkang.

“Peluang parti beliau untuk menang kerusi sangat tipis,” katanya.

Selepas Zuraida keluar Bersatu, PBM mengumumkan beliau sebagai bakal presiden parti baharu itu. – 27 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen