Bagaimana bantu rakyat tapi hapus subsidi, Guan Eng tanya Annuar Musa


Alfian Z.M. Tahir

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng bertanya bagaimana kerajaan boleh membantu golongan miskin (dengan menghapuskan subsidi) sedangkan harga barangan semakin meningkat, sambil menambah menteri komunikasi dan multimedia itu perlu berhenti menyebarkan berita palsu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Jun, 2022.

AHLI Parlimen DAP Lim Guan Eng menegur pemimpin Umno, Annuar Musa kerana mendakwa kerajaan cuba membantu golongan miskin ketika mereka memutuskan untuk menghapuskan subsidi ayam, telur dan minyak masak botol.

Ahli Parlimen Bagan dalam satu kenyataan bertanya bagaimana kerajaan boleh membantu golongan miskin (dengan menghapuskan subsidi) sedangkan harga barangan semakin meningkat, sambil menambah menteri komunikasi dan multimedia itu perlu berhenti menyebarkan berita palsu.

“Menteri harus menunjukkan contoh yang baik dengan tidak menyebarkan berita palsu, kerajaan tidak menghapuskan subsidi untuk ayam, telur dan minyak masak botol sebaliknya meningkatkan nilainya untuk membantu meringankan beban rakyat yang terjejas akibat kenaikan harga semasa.”

“Annuar berkata demikian sehari selepas pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengenai bantuan tambahan RM100 dan RM50 kepada isi rumah B40 dan individu belum berkahwin berjumlah RM630 juta bagi membantu mereka yang terjejas akibat pemansuhan subsidi ayam, telur dan minyak masak (kecuali paket 1kg).

“Dakwaan Annuar yang kerajaan memutuskan untuk meningkatkan nilai subsidi dan mengkaji semula subsidi sebelum ini supaya pelaksanaannya akan lebih berkesan tidak mempunyai merit dan tidak disokong fakta dan angka.

“Malah pemimpin pro-kerajaan itu pernah mengakui pemansuhan subsidi untuk ayam, telur dan minyak masak (kecuali pek 1kg) akan menjimatkan RM960 juta duit kerajaan,” katanya.

Pada Khamis, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata kerajaan tidak menarik subsidi yang diberikan kepada rakyat, tetapi ia meningkatkan nilai subsidi untuk membantu meringankan beban mereka yang terjejas akibat kenaikan harga barang semasa.

Menurutnya, kerajaan sentiasa prihatin dengan isu kos sara hidup yang membelenggu rakyat sehingga menyebabkan penyaluran subsidi bernilai RM43 bilion kepada rakyat untuk pelbagai perkara.

Beliau mengulas video yang disiarkan di Tik Tok yang mendakwa kerajaan akan menarik balik semua subsidi pada 31 Julai sekali gus membawa kepada pembelian panik dalam kalangan rakyat.

Pada Rabu, Ismail Sabri mengumumkan kerajaan akan mengekalkan subsidi RM4 bilion untuk minyak masak peket 1kg yang diperuntukkan tahun ini.

Beliau berkata subsidi yang bermula pada Jun 2007 itu hanya disediakan kerajaan untuk minyak masak 1kg yang dibungkus dalam polibeg berharga RM2.50 setiap satu, berbanding harga pasaran sebenar RM9, dan untuk kegunaan keluarga Malaysia daripada kumpulan B40.

Bagaimanapun pada Jumaat, beberapa hari selepas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata harga ayam akan diapungkan mulai 1 Julai berikutan penamatan subsidi, Ismail berkata kerajaan akan mengumumkan harga siling baharu.

“Putrajaya memutuskan harga ayam tidak akan diapungkan di pasaran. Sebaliknya, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan mengumumkan harga siling baharu tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, Lim berkata kerajaan dalam menjimatkan RM960 juta, tetapi memberi RM630 juta sebagai bantuan tambahan, menjimatkan Putrajaya RM330 juta dengan mengorbankan golongan miskin yang menderita akibat harga tinggi.

“Maka bagaimana Annuar boleh mendakwa kerajaan memutuskan untuk meningkatkan nilai subsidi apabila RM960 juta subsidi minyak masak, telur dan ayam digantikan dengan RM630 juta sebagai bantuan tambahan.”

“Sama ada Annuar hanya tidak tahu bagaimana untuk membuat Matematik atau terlalu sibuk dengan berita palsu,” katanya. – 26 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen