Turki beri amaran kepada Syria jangan hantar tentera ke Afrin


Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, menghubungi rakan sejawat beliau di Rusia dan Iran untuk memberi amaran berhubung langkah Syria menghantar bantuan tentera di Afrin. – Gambar fail EPA, 20 Februari, 2018.

TURKI pada Isnin memberi amaran kepada Syria agar tidak menghantar tentera ke daerah Afrin untuk membantu militia Kurdish, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang pegawai kanan Turki.

‘‘Keputusan kerajaan Syria untuk menghantar pasukan tentera ke Afrin akan memberi lampu hijau kepada tindakan memecah-belahkan Syria, dan bakal mengundang kesan buruk kepada rantau ini,” kata Timbalan Perdana Menteri Turki, Bekir Bozdag, kepada pemberita selepas mesyuarat Kabinet.

Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusolgu, memberi amaran jika tentera Syria memutuskan untuk mempertahan Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG), maka “tiada apa dan siapa yang boleh menghalang tentera Turki.”

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, menghubungi rakan sejawat beliau di Rusia dan Iran, Vladimir Putin dan Hassan Rouhani, untuk memberi amaran berhubung langkah sedemikian.

Ankara menganggap YPG sebagai sekutu Syria dari Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang  diharamkan dan merupakan sebuah organisasi pengganas dalam senarai Turki.

Bagaimanapun, Amerika Syarikat menyokong YPG sebagai sekutunya dalam memerangi militan Islamic State (IS) di Syria.

Turki melancarkan satu operasi ketenteraan pada 20 Jan di daerah Afrin untuk mengusir militia YPG dan berjanji akan memperluas operasinya ke Manbij di mana tentera Amerika Syarikat ditempatkan bersama-sama YPG untuk menentang IS. – Bernama, 20 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen