Bidang sumber manusia, pemasaran pilihan utama pencari kerja


Elill Easwaran

Karnival Kerjaya Belia BN diadakan di WTC bermula Jumaat lepas hingga hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 26 Jun, 2022.

PEKERJAAN dalam bidang sumber manusia dan pemasaran menjadi pilihan utama di Karnival Kerjaya Belia Barisan Nasional, menurut wakil syarikat yang membuka reruai di acara itu.  

Mereka memberitahu The Malaysian Insight yang kebanyakan graduan baharu yang datang ke carnival mencari peluang pekerjaan dalam dua bidang itu.

Arvie Basa yang menguruskan reruai Loob Holding berkata setakat ini sambutan yang diterima sangat baik.

“Kami menawarkan dua kategori pekerjaan untuk jenama Tealive, iaitu di cawangan dan di pejabat.

“Berdasarkan pemerhatian kami, kebanyakannya memohon kerja di pejabat kerana mereka mahu menjadi sebahagian daripada pasukan sumber manusia.

“Jika bukan sumber manusia, permintaan lain adalah untuk jawatan pemasaran,” kata Arvie yang merupakan pengurus kawasan Tealive.

Tambahnya ada juga pemohon yang sudah berusia dan berpengalaman, kebanyakan mereka dihentikan kerja kerana Covid-19.

Karnival Kerjaya Belia BN 2022 diadakah di World Trade Centre, Kuala Lumpur, bermula sejak Jumaat lalu hingga hari ini, melibatkan lebih 300 agensi kerajaan dan syarikat swasta.

Matlamatnya adalah untuk menyediakan peluang pekerjaan untuk graduan dan mereka yang baharu meninggalkan sistem pendidikan.

Pengurus Kawasan Arvie Basa yang menguruskan reruai Loob Holding, syarikat jenama Tealive berkata setakat ini sambutan yang diterima sangat baik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 26 Jun, 2022.

Antara syarikat terlibat termasuklah Boustead, DRB Hicom, Tenaga Nasional Berhad, Open University Malaysia, Mara, McDonald’s dan The Coffee Bean & Tea Leaf.

Sementara itu, Khairul Adila Zainal, pengawai bakat Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga bersetuju yang wujud permintaan tinggi bagi bidang sumber manusia dan pemasaran di reruai mereka.

“Tetapi kami juga meminta pemohon untuk mencuba jawatan lain berdasarkan perbualan kami dengan mereka.

“Kami terkejut kerana ada juga yang datang untuk memohon latihan amali bagi melengkapkan syarat pengajian ijazah mereka,” katanya.

Katanya lagi, acara itu juga memudahkan proses merekrut.  

“Selama dua tahun, semuanya dibuat secara virtual, daripada permohonan sehinggalah kepada temuduga, tetapi dengan acara seperti ini, kami akhirnya boleh buat semua secara bersemuka yang memudahkan lagi kerja,” kata Adila.

Menurutnya lagi, kebanyakan graduan yang memohon di TNB adalah mereka yang tidak mendapat kerja ketika pandemik. – 26 Jun, 2022.

Berita penuh di sini. 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen