3 beranak dikhuatiri lemas kereta terjunam ke dalam sungai


Proton Persona yang dinaiki tiga beranak terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai di Jambatan Pantai Cicar, Kuala Ketil dekat Baling, semalam. – Gambar Facebook, 26 Jun, 2022.

TIGA beranak dikhuatiri lemas selepas kereta jenis Proton Persona yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai di Jambatan Pantai Cicar, Kuala Ketil dekat Baling, semalam.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat berkata ketiga-tiga mangsa dikenali sebagai Mashitoh Ibrahim, 37, dan dua anak lelakinya Mohd Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Mohd Ziyad Haziq, 5.

“Sebuah bot penyelamat dengan kekuatan lima anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang mengesan mangsa dalam sungai dengan menggunakan teknik ‘grappling iron’.

“Setakat ini, kesemua mangsa masih belum ditemui dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar, semalam.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JBPM Kedah Penolong Pesuruhjaya Bomba, Syufaat Kamaron berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.42 petang berhubung kejadian sebuah kereta terbabas ke dalam sungai.

“Keadaan sungai deras lebih kurang 100 meter lebar dengan ketinggian tebing dan kedalaman tiga meter. Beberapa bot penduduk kampung juga turut membantu pencarian dan mereka memaklumkan bahawa mereka melihat kejadian itu berlaku.

“Anggota penyelamat yang membuat pencarian di kawasan permukaan sungai masih belum dapat mengesan kedudukan kereta berkenaan. Anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bersama dua bot aluminium dari Balai Bomba dan Penyelamat Baling dan Tikam Batu telah digerakan ke lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata polis juga telah mengesahkan identiti kesemua mangsa yang terlibat dan suami kepada mangsa berada di lokasi kejadian. – Bernama, 26 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen