Mahkamah Peru perintah Fujimori dibicara kes bunuh 6 petani


Mahkamah mengarahkan bekas presiden Peru, Alberto Fujimori dan 22 yang lain dibicarakan atas tuduhan membunuh sekumpulan petani yang dikatakan menyokong gerila kiri yang menentang pentadbirannya pada 1992. – Gambar fail EPA, 20 Februari, 2018.

MAHKAMAH Peru mengarahkan bekas presiden Alberto Fujimori pada Isnin dibicarakan berhubung pembunuhan enam petani pada 1992, dengan alasan beliau tidak mempunyai imuniti walaupun menerima pengampunan baru-baru ini bagi jenayah yang berlainan.

Mahkamah Jenayah Kebangsaan berkata pengampunan yang diberikan kepada Fujimori dalam kes hak asasi manusia yang menyebabkan beliau menjalani hukuman 25 tahun tidak termasuk terhadap kes pembunuhan sekumpulan petani itu.

Pihak pendakwa diminta membicarakan bekas presiden dan 22 yang lain berhubung pembunuhan yang dilakukan skuad penembak.

Fujimori, 79, diampunkan oleh Presiden Peru Pedro Pablo Kuczynski, pada 24 Disember atas alasan perikemanusiaan kerana sakit.

Bekas pemimpin itu menjalani hukuman bagi jenayah yang termasuk tindakan skuad penembak yang membunuh orang awam yang bersimpati dengan gerila kiri yang memerangi rejimnya.

Pengampunan itu mencetuskan bantahan jalanan di Peru dan diprotes oleh kumpulan hak asasi antarabangsa sebagai tamparan dalam perjuangan menentang kekebalan.

Pengampunan diberikan Kuczynski dilihat banyak pihak sebagai percubaan untuk mendapatkan bantuan daripada anak Fujimori, Kenji beberapa hari sebelum undi pemecatan dalam Kongres berhubung dakwaan rasuah. – AFP, 20 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen