Abang Johari nasihati pelajar mohon universiti swasta Sarawak jika ditolak UPU


Premier Abang Johari Openg berkata adalah lebih mudah bagi pelajar Sarawak untuk mendapatkan tempat di universiti swasta tempatan dan kerajaan negeri juga boleh membantu jika mereka berdepan kesukaran untuk membiayai yuran pengajian. – Gambar The Malaysian Insight oleh Desmond Davidson, 25 Jun, 2022.

PELAJAR Sarawak yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi tidak mendapat tempat di universiti awam dinasihatkan supaya melihat universiti swasta di negeri ini, kata Premier Abang Johari Openg.

Beliau berkata adalah lebih mudah bagi mereka untuk mendapatkan tempat di universiti berkenaan dan kerajaan negeri juga boleh membantu jika mereka berdepan kesukaran untuk membiayai kos pengajian.

“Pergi ke Swinburne (di Kuching), Curtin (di Miri), Universiti Teknologi Sarawak (di Sibu),” katanya ketika merasmikan ekspo pendidikan Sarawak di Kuching hari ini.

Beliau berkata permohonan mereka tidak akan ditapis Unit Pengambilan Universiti (UPU).

UPU menguruskan proses permohonan ke universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan institut latihan kemahiran di negara ini.

“Mereka sepatutnya tiada masalah untuk mencari tempat. Kita memerlukan semua orang untuk mengubah Sarawak.”

Abang Johari tidak menyatakannya tetapi jelas merujuk kepada rungutan yang sering kedengaran pelajar yang mendapat “A” semua mata pelajaran dalam peperiksaan SPM dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan bukan bumiputera tidak mendapat tempat di universiti awam.

Kerajaan Sarawak mempunyai kepentingan dalam Swinburne, Curtin dan Universiti Teknologi Sarawak.

Abang Johari juga memberitahu pelajar jika mereka berdepan kesukaran untuk membiayai yuran pengajian mereka, “Yayasan Sarawak akan membantu (anda)”.

Katanya, bantuan kewangan itu adalah untuk semua kaum, bukan sahaja untuk bumiputera.

“Saya adil kepada semua.” – 25 Jun, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen