SEKURANG-KURANGNYA 77 orang awam terbunuh pada Isnin dalam serangan pengeboman Syria terhadap kubu pemberontak di Ghouta Timur berhampiran ibu kota Damsyik, lapor pemerhati perang.
Pemantau Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain berkata sekurang-kurangnya 20 kanak-kanak antara yang terbunuh dalam serangan itu, berbanding jumlah kematian awal yang lebih rendah sebanyak 54 orang. Sekitar 300 yang lain cedera.
“Rejim itu mengebom Ghouta Timur bagi membuka jalan untuk serangan darat,” kata ketua pemantau Rami Abdel Rahman.
Pembangkang utama gabungan kebangsaan yang berpusat di Turki, mengecam “perang pemusnahan” di Ghouta Timur serta “sikap berdiam diri antarabangsa”.
Dalam satu kenyataan, ia juga menuduh rejim sekutunya Rusia berusaha “mengebumikan proses politik” untuk menyelesaikan konflik.
Penduduk Hammuriyeh dapat dilihat dalam keadaan tergesa-gesa dan panik sebaik sahaja mereka mendengar bunyi jet.
Alaa al-Din, warga Syria berusia 23 tahun di Hammuriyeh, berkata orang awam takut dengan kemungkinan serangan pihak pemerintah.
“Nasib Ghouta tidak diketahui. Kami tidak mempunyai apa-apa kecuali ihsan daripada Tuhan dan bersembunyi di ruang bawah tanah,” katanya kepada AFP.
“Tiada sebarang alternatif.” – AFP, 20 Februari, 2018.
Komen