RANGKAIAN restoran makanan segera Amerika Syarikat (AS), KFC hari ini menutup beratus-ratus restoran di UK setelah syarikat pembekal Jerman, DHL gagal membekalkan ayam segar.
Pihak KFC berkata lebih daripada 700 restoran di UK terpaksa ditutup sejak hujung minggu lalu, manakala ada yang menghadkan menu atau beroperasi dalam waktu yang lebih pendek.
“Kami membawa masuk pembekal baharu, tetapi mereka menghadapi beberapa masalah - mendapatkan ayam segar untuk 900 restoran di seluruh negara nampaknya rumit,” menurut KFC dalma satu kenyataan.
“Kami tidak akan berkompromi mengenai kualiti, jadi ini bermakna beberapa restoran kami ditutup, dan ada yang menghadkan menu atau memendekkan waktu operasi.
“Kami tahu ini mungkin menyusahkan anda, dan mengecewakan disaat anda mahukan ayam goreng - kami benar-benar mohon maaf,” jelas KFC lagi.
Dalam satu kenyataan berasingan, DHl berkata pihaknya sedang berusaha menyelesaikan masalah itu. – AFP, 19 Februari, 2018.
Komen