Mahkamah AS putuskan rakyat berhak bawa pistol di tempat awam


Presiden Amerika Syarikat Joe Biden memegang pistol 9mm ketika mengumumkan tindakan untuk banteras penggunaan senjata api itu. Hari ini Mahkamah Agung AS memutuskan rakyat negara itu berhak membawa pistol di tempat awam. – Gambar EPA, 24 Jun, 2022.

MAHKAMAH Agung Amerika Syarikat (AS) pada Khamis memutuskan yang rakyat Amerika mempunyai hak asas untuk membawa pistol di tempat awam.

Keputusan ini diumumkan ketika kebanyakan bandar dan negeri di negara itu menghadapi lonjakan keganasan senjata api.

Keputusan 6-3 itu membatalkan undang-undang New York yang berusia lebih berabad-abad yang memerlukan seseorang membuktikan mereka mempunyai keperluan mempertahankan diri yang sah untuk mendapatkan permit bagi membawa pistol secara sembunyi di luar rumah.

Lima negeri lain, termasuk California, dan Washington, ibu kota negara, mempunyai undang-undang yang sama dan keputusan itu akan menghalang usaha mereka untuk menyekat orang ramai daripada membawa senjata api di khalayak ramai.

Presiden Demokrat Joe Biden mengecam keputusan itu, berkata ia “bercanggah dengan akal budi dan Perlembagaan, malah akan menyusahkan kita semua.”

“Kita wajib berusaha melindungi sesama kita di Amerika,” kata Biden. “Saya seru rakyat Amerika di seluruh negara untuk menyuarakan tentang kepentingan keselamatan senjata api.”

Walaupun desakan untuk mengehadkan senjata api makin meningkat susulan dua kes tembakan besar-besaran pada Mei, mahkamah tetap berpihak kepada plaintif yang memetik Perlembagaan AS sebagai menjamin hak untuk memiliki dan membawa senjata api.

Ia merupakan kemenangan buat kumpulan pelobi Persatuan Rifle Kebangsaan, yang membawa kes itu bersama dua lelaki New York yang telah dinafikan permit senjata api.

“Keputusan hari ini adalah kemenangan besar untuk lelaki dan wanita yang baik di seluruh Amerika dan merupakan hasil perjuangan selama berdekad-dekad yang diterajui NRA,” kata naib presiden eksekutif NRA Wayne LaPierre dalam satu kenyataan.

“Hak untuk mempertahankan diri dan untuk membela keluarga dan orang tersayang anda bukan setakat di rumah anda.” – AFP, 24 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen