PAS tetap guna lambang Perikatan dalam PRU, kata Hadi


Diyana Ibrahim

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyifatkan saranan beberapa pemimpin partinya untuk guna logo sendiri dalam PRU15 hanyalah pandangan peribadi, menekankan PAS akan kekal guna logo Perikatan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Jun, 2022.

PAS akan tetap menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya umum akan datang, kata presiden parti Islam itu Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata saranan agar PAS menggunakan logo sendiri di kawasan pengundi tegarnya hanyalah pandangan peribadi beberapa pemimpin dan bukan keputusan rasmi parti.

“Itu hanya pandangan peribadi sehingga kini kita guna simbol PN,” katanya kepada pemberita selepas kuliah paginya di Marang, Terengganu hari ini.

Ia merujuk kepada cadangan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Zuhdi Marzuki yang menyarankan PAS menggunakan logo sendiri untuk menjamin kemenangan dalam PRU15.

Zuhdi dipetik dalam laporan Utusan Malaysia sebagai berkata, kelonggaran perlu diberikan terutama di kawasan kubu kuat atau yang mempunyai potensi menang.

Cadangan itu disokong Mursyidul Am PAS Hashim Jasin yang berkata langkah itu membantu memberi kemenangan kepada calon parti yang bertanding.

PAS mula menggunakan logo PN sewaktu menyertai pilihan raya kecil (PRK) Melaka pada November dan seterusnya di Johor pada Mac lalu.

Parti tersebut bagaimanapun gagal memenangi sebarang kerusi dalam kempen di Melaka dan hanya berjaya meraih satu kerusi – Maharani dalam PRK Johor. – 24 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen