Jangan salahkan PM isu harga barang naik, kata Hadi


Diyana Ibrahim

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata kenaikan harga barang keperluan terutama ayam perlu dilihat dari pelbagai sudut seperti peniaga yang menaikkan harga itu di pasaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Jun, 2022.

RAKYAT tidak boleh menyalahkan kerajaan dan juga Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam isu kenaikan harga barang keperluan pengguna, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata Ismail sudah melakukan usaha terbaik untuk menyelesaikan isu tersebut biarpun dalam keadaan yang disifatkannya mencabar dan juga kerana masalah dari pentadbiran terdahulu.

“Pencapaian Ismail Sabri baik sahaja. Dalam keadaan mencabar ini, nak selesaikan 100% tak boleh tapi sebenarnya banyak yang telah beliau selesaikan.

“Lagi pun beliau perlu memikul bebanan dari kerajaan kerajaan dahulu jadi terpaksalah baiki balik,” katanya kepada pemberita selepas kuliah paginya di Rusila, Marang hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata bukan isu kenaikan harga barang akibat inflasi bukan hanya berlaku di Malaysia tetapi juga di peringkat global.

Oleh itu, kenaikan harga barang keperluan terutama ayam perlu dilihat dari pelbagai sudut seperti peniaga yang menaikkan harga itu di pasaran, kata Hadi.

Beliau seterusnya menyalahkan golongan peniaga tersebut yang menurutnya bertanggungjawab menaikkan harga barang keperluan itu.

Hadi juga menganggap golongan yang hanya menyalahkan kerajaan dalam isu kenaikan harga barang sebagai pihak yang jahil dari segi politik.

“Siapa yang kuasai makanan ternakan. Kita kena tengok siapa yang mainkan harga. Kita kena tanya semua bukan kerajaan semata-mata. Tak boleh salahkan kerajaan sahaja.

“Kita kena sedar masalah inflasi yang melanda seluruh dunia bukan Malaysia sahaja, Malaysia duduk dalam dunia bukan duduk luar dunia.

“Nak menghadapi masalah inflasi dunia ia mencabar. Orang yang cakap, kritik kerajaan orang yang tak reti, orang yang jahil politik,” katanya.

Kenyataan Hadi yang mempertahankan Ismail muncul sewaktu perdana menteri menerima pelbagai kritikan ekoran keputusan menghentikan subsidi ayam, telur dan juga bagi minyak masak. – 24 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen