Menilik nasib politik Ismail Sabri


Izmil Amri

SUDAH lebih 300 hari berlalu sejak Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, mengambil alih daripada Muhyiddin Yassin yang menyelinap ke kerusi PM melalui pintu belakang istana. Belum lagi cukup setahun.

Ada lebih kurang dua bulan lagi untuk beliau berjimba, paling kurang untuk berjalan-jalan makan angin dengan alasan kerja, sepertimana kelaziman para menteri untuk bercuti ke luar negara kononnya untuk mendengar keluh kesah rakyat di sana, seolah-olah tiada rakyat yang menderita di tanah air.

Dalam tempoh dua bulan terbabit, kluster mahkamah dan juak-juak mereka yang tempoh hari terpekik-pekik menuntut supaya Parlimen dibubarkan akan terus berusaha supaya Ismail Sabri dijadikan PM dengan tempoh berjawat paling singkat.

Tidaklah susah mana sebenarnya. Kluster mahkamah sebenarnya boleh terus menghadap Yang di-Pertuan Agong dan menyatakan mereka sudah tidak lagi meletakkan keyakinan terhadap PM, dengan mengemukakan bilangan yang mereka ada untuk menumbangkan kerajaan mereka sendiri.

Malah kerajaan Ismail Sabri kini berdiri dengan majoriti yang hampir ghuyub, malah mungkin sebenarnya kekal berdiri dengan hanya berbekalkan MOU bersama Pakatan Harapan. Kita letak tepi dahulu soal MOU ini, dan kita unjurkan dahulu nasib Ismail Sabri sebagai PM paling singkat dalam sejarah Malaysia berdasarkan sokongan partinya sendiri.

Umno dan Kluster Mahkamah

Antara perkara paling menarik dalam politik Umno hari ini ialah hakikat ia begitu berpecah sehingga orang Umno sendiri pun sukar mempercayai sesama sendiri. Siapa orang presiden, siapa orang timbalan presiden, siapa dalam pay-roll bossku, siapa yang mahu “ubah dari dalam”, siapa yang sedang cuba menjauh daripada parti, siapa yang sedang suruh Khairy Jamaluddin buat parti sendiri; macam-macam ada.

Pun begitu, hakikatnya Umno ini ketika dihadapi musibah, ia akan cepat merapatkan safnya. Justeru yang lebih penting untuk kita tahu ialah siapakah yang memberi makan keseluruhan saf itu? Kerana yang memberi makan itulah yang menguasai parti. Kita semua tahu bagaimana kalau “duit tak turun, kerja tak jalan”. Malah khemah bilik gerakan pun boleh dirobohkan.

Maka jawapannya tidak lain “ketua bahagian”. Lalu siapa pula yang menguasai ketua-ketua bahagian ini? Ismail Sabri? Eh, beranganlah.

Ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor melabuhkan tirainya, seluruh negara menyaksikan bagaimana perdana menteri ditolak ke tepi (secara fizikal) untuk memberi laluan kepada suami Rosmah Mansor.

Najib Razak dijadikan maskot BN di Johor, dibawa ke hulu ke hilir disuruh senyum dan melambai kepada sekalian pengundi. Kemudian dipakaikan baju cantik-cantik dan dibawa masuk televisyen untuk berdebat dan memperagakan dirinya sebagai Al-Mahdi sekalian rakyat marhaen, pembela nasib B40 daripada orang jahat di luar sana yang sudah kenyang meratah kekayaan negara dan melupakan kesusahan rakyat jelata.

Macamlah Najib itu suci bersih manusianya dan tidak sedang dibelenggu pertuduhan dan senarai panjang bukti keluar masuk wang beratus juta.

Pun begitu, Najiblah yang berada di puncak kekuasaan Umno pada saat ini. Koruptor paling besar yang membawa malu besar kepada negara, sudah dibuktikan bersalah dan sedang menunggu puluhan lagi pertuduhan yang hampir pasti juga dibuktikan di mahkamah, masih lagi diangkat dan didewakan.

Hatta diundang ke istana. Bertepuk tanganlah penyokong Najib sekaliannya. Umno sebenarnya dipimpin bakal banduan perasuah paling besar, dan ia sedikit pun tidak merasa malu.

Dan, Ismail Sabri sedar dirinya yang kerdil lagi hina sebenarnya boleh dijahanamkan oleh kluster mahkamah pimpinan Najib ini pada bila-bila masa.

Lalu, apa yang mesti si Ismail Sabri lakukan?

Menyusahkan rakyat

Jangan salah faham. Meski seluruh negara sedang menyaksikan kenaikan kos sara hidup yang tiada sepertinya sepanjang beberapa dekad lampau, ia berlaku bukan kerana pentadbiran Ismail Sabri itu sebuah kakistokrasi yang dipenuhi manusia tiada berotak.

Kakistokrasi ialah sebuah pentadbiran yang diuruskan dengan menggunakan kaki. Senang faham, kan?

Kakistokrasi pimpinan Ismail Sabri sebenarnya boleh tahan bijak juga. Saya sebut begini kerana saya berpendapat Kabinet dipenuhi kaki dan mangkuk ini sedang menggarap usaha untuk mewujudkan persekitaran paling tidak kondusif untuk diadakan pilihan raya yang boleh memberi kelebihan kepada kluster mahkamah.

Harga barang naik, subsidi ditarik balik, tarif elektrik bakal melonjak, harga petrol meningkat walaupun harga minyak mentah semakin mahal (kita negara pengeluar minyak ya, jangan lupa); semua ini adalah bahan untuk mewujudkan persekitaran yang menimbulkan kemarahan rakyat jelata. Kenapa nak dibuat PRU jika rakyat sedang marah? Cari nahas?

Jika anda tidak percaya, lihat saja bagaimana keberahian kluster mahkamah dan juak-juaknya menuntut bubar Parlimen sudah semakin mengendur. Bahkan saya begitu yakin dan percaya Najib sudah sedang menyenaraikan barang yang perlu dibawa bersama ke Sungai Buloh. Berus gigi, tuala kecil, mungkin beberapa naskhah buku kegemaran. Kalau berani kawtim dengan warden, mungkin boleh bawa masuk telefon; dapatlah mesej dengan insan tersayang.

Sekiranya Najib berjaya disumbat ke penjara dalam tempoh pentadbiran pimpinan Ismail Sabri, akan bersoraklah keseluruhan blok pembangkang; termasuk sekali mereka yang tidak menyokong MoU. Lalu mudahlah jalan BN pimpinan Ismail Sabri dan kawan-kawan beliau untuk membentang belanjawan pilihan raya buat menabur gula-gula sebelum berakhir penggal dan PRU wajib dilaksanakan tahun hadapan.

Dan, Umno-BN akan menang, tanpa syak dan ragu lagi. Bab ini tak perlu tilik tapak tangan siapa-siapa. Selagi mana blok pembangkang (nak panggil khemah besar atau kecil, ikut suka) tidak mampu mendamaikan keresahan rakyat dengan menonjolkan kepimpinan yang mampan dan tawaran yang jauh lebih baik, Umno-BN akan menang, sepertimana ia menang di Johor, Melaka dan Sarawak.

Apatah lagi sekarang ini ia sudah pun perlahan-lahan mempersiapkan naratif “PH pun rasuah” dengan berbekalkan kluster rambut sikat tepi daripada DAP dan Muda.

“Kami rasuah, tapi ‘cash is king’, semua orang dapat duit. DAP kedekut, Guan Eng pun rasuah, Syed Saddiq pun rasuah, Anwar tak layak, Mahathir dah tua, Amanah ada Mat Sabu saja.”

Demikian barangkali ayat-ayat kempen BN menuju PRU15, membuat pening kepala orang ramai.

“Apa nak pening, BN menang, rakyat senang!” Habis cerita. Khalas. – 24 Jun, 2022.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen