RM155 juta subsidi tambang: Percuma sebulan, hilangkah beban?


PENGUMUMAN Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bahawa kerajaan akan menanggung subsidi tambang percuma untuk semua perkhidmatan RapidKL selama sebulan memang satu berita yang menggembirakan, tetapi adakah ia satu langkah yang wajar?

Untuk menampung subsidi tambang percuma selama sebulan bagi perkhidmatan MRT, LRT, BRT, Monorel dan bas RapidKL kos keseluruhan kepada kerajaan adalah sebanyak RM155 juta. Kos yang sebenarnya datang dari duit hasil cukai rakyat Malaysia sendiri.

Dalam mengumumkan pemberian tambang percuma selama sebulan itu, perdana menteri berkata “kita memahami tentang kesusahan rakyat terutama dengan peningkatan harga barang yang membebankan, dan kos sara hidup meningkat.”

Sangat luar biasa jika beliau benar-benar berfikiran bahawa memberikan rakyat tambang percuma sebulan untuk pengangkutan awam di Lembah Klang benar-benar dapat mengatasi isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang meningkat.

Adakah ini bermakna, sebulan selepas tambang percuma maka harga minyak masak atau ayam mentah akan turun manakala rakyat mempunyai kewangan yang cukup untuk menampung kos sara hidup mereka?

Langkah populis

Langkah memberikan tambang percuma sebulan adalah langkah populis yang sebenarnya tidak memberikan kesan ketara untuk menghilangkan beban rakyat.

Sedia kala sudah ada pilihan untuk pengguna RapidKL membeli pas bulanan pada harga minimal dalam bentuk My50, yang pertama kalinya diperkenalkan ketika era kerajaan Pakatan Harapan melalui mantan menteri pengangkutan Anthony Loke Siew Fook. 

Dengan harga RM50, pengguna pas bulanan ini boleh menggunakan semua rangkaian perkhidmatan RapidKL tanpa had selama 30 hari. Untuk golongan pelajar, warga emas dan OKU pula, ada pilihan kad konsesi yang memberikan potongan 50% ke atas harga tiket.

Pas bulanan My50 dan kad konsesi ini mendapat sambutan menggalakkan dan rata-rata pengguna RapidKL tidak mempunyai sebarang isu tentang harga atau kos pengangkutan mereka.

Namun apa yang kerap dibangkitkan saban hari oleh pengguna tegar RapidKL adalah mutu perkhidmatan yang mengecewakan.

Bas dan tren yang lambat serta kadar kekerapan yang terlalu lama, sehingga 8 minit untuk tren LRT dan MRT pada waktu puncak. 

Itu belum dikira pula dengan kerosakan bas dan tren atau apa-apa masalah teknikal yang menjejaskan masa perjalanan pengguna, lebih-lebih lagi ketika hendak pergi bekerja.

Kerap juga dibangkitkan isu kemudahan yang berada dalam keadaan tidak terurus atau tidak boleh digunakan langsung kerana rosak. 

Ada stesen yang lif atau eskalator ‘tidak beroperasi’ hingga berhari-hari lamanya, ada juga yang bocor ketika hujan atau banjir akibat masalah paip.

Situasi ini timbul kerana kemudahan itu tidak diurus dengan baik walaupun baru dibina seperti stesen MRT contohnya.

Ini adalah masalah-masalah berkaitan sistem pengangkutan yang menghantui rakyat.

Yang diperlukan adalah perkhidmatan yang berkualiti bukannya tambang percuma selama sebulan, yang jika dikira berdasarkan harga pas bulanan My50 maka nilai subsidi dinikmati setiap pengguna adalah RM50 sahaja.

Bolehkah RM50 ini benar-benar menghilangkan beban kos sara hidup mereka?

Melabur pada tempatnya

Hakikatnya ada cara lain bagaimana peruntukan RM155 juta boleh digunakan dengan lebih efisien dan memberi kesan jangka panjang.

Salah satunya adalah dengan melabur untuk membaik pulih dan menaik taraf fasiliti pengangkutan awam yang rosak, uzur dan tidak lagi berupaya menampung peningkatan pengguna yang bertambah.

Eskalator atau lif yang rosak boleh diperbaiki segera dengan peruntukan tersebut. Begitu juga stesen yang bocor atau hentian bas usang.

Baik pulih dan naik taraf kemudahan ini akan memberi impak positif untuk jangka masa panjang berbanding sebulan tambang percuma yang bersifat jangka pendek dan tidak kekal.

Kerajaan juga sewajarnya menggunakan peruntukan tersebut untuk meningkatkan kemudahan akses pengangkutan awam kepada golongan OKU yang masih terhad. 

Tawaran tambang percuma sebulan dikhabarkan turut meliputi perkhidmatan KTM Komuter, tetapi realitinya kebanyakan stesen KTM Komuter tidak dilengkapi kemudahan seperti eskalator atau lif yang boleh membantu pergerakan golongan OKU bagi menggunakan pengangkutan tersebut. 

Bukankah RM155 juta itu lebih wajar digunakan bagi menyediakan eskalator dan lif di stesen KTM Komuter?

Perhatian juga perlu diberikan kepada meningkatkan mutu pengangkutan awam di luar Lembah Klang yang terabai sejak sekian lama.

RM155 juta boleh sahaja dilaburkan bagi menaik taraf perkhidmatan bas di kawasan luar bandar, sama ada untuk membekalkan kenderaan bas yang baharu atau menyediakan stesen atau hentian bas yang lengkap dan selesa. 

Sebagai contoh, kenapa tidak ia digunakan bagi membina stesen bas di Kota Baharu bagi menggantikan stesen bas sedia ada yang sebelum ini tular kerana seperti kandang kambing?

Percuma sebulan, hilangkah beban?

Sebelum ini saya pernah mengkritik kerajaan Perak yang memberikan cadangan pendek akal dalam isu sekuriti makanan dengan menyarankan rakyatnya menanam sayur serta menternak lembu dan ayam bagi kegunaan sendiri.

Kini, nampaknya kerajaan di peringkat persekutuan juga seakan pendek akal apabila berpandangan tambang percuma pengangkutan awam selama sebulan sebagai satu jalan keluar dari beban peningkatan harga barang dan kos sara hidup rakyat.

Masalah ekonomi sedemikian tidak boleh diselesaikan dengan pengangkutan awam percuma selama sebulan. 

Apatah lagi jika tawaran itu hanya terhad di Lembah Klang, sedang rakyat di Perlis hinggalah ke Sabah semuanya sedang merasai beban ekonomi berserta masalah pengangkutan awam di kawasan mereka yang selalu dianak tirikan.

Kerajaan perlu berhenti dari terus melaksanakan langkah populis sebegini yang bersifat sementara dan tidak memberi impak positif yang kekal. 

Tindakan sebegini hanya mengundangkan keberuntungan yang tidak ada faedahnya, bak kata peribahasa Melayu ayam menang, kampuh tergadai. – 24 Jun, 2022.

* Howard Lee, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP Malaysia dan Adun Perak, Pasir Pinji.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen