KERAJAAN Singapura hari ini berkata akan mengenakan cukai karbon mulai tahun depan bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan supaya syarikat-syarikat lebih kompetitif sebaik saja Perjanjian Iklim Paris berkuatkuasa.
Menteri Kewangan Heng Swee Keat berkata cukai itu akan dikenakan ke atas semua industri yang menghasilkan 25,000 atau lebih pelepasan gas rumah hijau setahun.
Cukai sebanyak S$5 (RM15) bagi setiap tan gas rumah hijau yang dilaksanakan akan dikenakan untuk semua sektor bermula tahun depan hingga 2023. Selepas itu, levi itu akan dikaji semula dan mungkin akan dinaikkan kepada antara S$10 dan S$15 setiap satu tan menjelang 2030.
Perjanjian Iklim Paris yang ditandatangani 197 negara pada 2015 menyeru supaya pemanasan global dihadkan kepada “berada di bawah” 2 darjah Celsius dan berusaha untuk mencapai 1.5 darjah Celsius.
The Straits Times melaporkan, cukai yang dikenakan Singapura itu akan menjejaskan 30 hingga 40 syarikat, terutamanya dari sektor penapisan petroleum, bahan kimia dan semikonduktor.
Menurut kerajaan Singapura, negara itu berada di tangga 26 dari 142 negara dari segi pelepasan per kapita berdasarkan kepada data Agensi Tenanga Antarabangsa terkini,disebabkan saiz serta populasinya yang padat. – AFP, 19 Februari, 2018.
Komen