Google setuju bayar perkhidmatan Wikipedia


Google menjadi pelanggan pertama yang membayar bagi kerjasama komersialnya Wikimedia Enterprise, yang dilancarkan tahun lepas. – Gambar tangkap layar, 23 Jun, 2022.

GOOGLE bersetuju membayar perkhidmatan tambahan Wikipedia, sebahagian daripada trend yang semakin meningkat bagi gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) itu untuk membuat perjanjian komersial dengan syarikat web lain.

Wikimedia Foundation, badan amal yang menyelia ensiklopedia dalam talian, berkata Google ialah pelanggan pertama yang membayar bagi kerjasama komersialnya Wikimedia Enterprise, yang dilancarkan tahun lepas.

Internet Archieve, sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang menjalankan laman sesawang Wayback Machine yang menyimpan gambar laman web dan digunakan untuk membetulkan pautan Wikipedia, akan ditawarkan perkhidmatan komersial secara percuma.

“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan kedua-duanya sebagai rakan kongsi lama kami,” kata Lane Becker dari Wikimedia dalam satu kenyataan pada Selasa.

Wikipedia, salah satu laman web paling banyak dikunjungi di dunia, percuma untuk digunakan, dikemas kini oleh sukarelawan dan bergantung pada derma untuk terus bertahan.

Usaha komersial baharu itu tidak akan mengubah aturan untuk pengguna individu, kata yayasan itu.

Google menggunakan bahan daripada laman web untuk “knowledge pane”—bar sisi yang mengiringi hasil carian utama.

Sumber maklumat tidak selalu ditunjukkan, amalan yang mencetuskan aduan daripada Wikimedia.

Yayasan itu berkata produk baharunya memberi pelanggan maklumat yang terkini di projek Wikimedia, melebihi apa yang tersedia kepada orang ramai.

Produk itu direka bentuk untuk memudahkan entiti ini menggunakan dan berkongsi kandungan Wikimedia, katanya dalam satu kenyataan.

Google sebelum ini memberikan wang kepada Wikipedia melalui derma dan geran tetapi perjanjian baharu itu meletakkan hubungan mereka pada landasan komersial yang lebih formal.

“Kami sekian lama menyokong Wikimedia Foundation dalam mengejar matlamat bersama kami untuk meluaskan pengetahuan dan akses maklumat kepada orang ramai di mana-mana,” kata Tim Palmer dari Google.

Kenyataan yayasan itu tidak mendedahkan nilai kontraknya dengan Google.

Google sekian lama mempunyai hubungan bermasalah dengan laman web lain—malah ia cuba mencipta saingan kepada Wikipedia yang dipanggil Knol, walaupun usaha itu gagal.

Tetapi syarikat itu mengubah taktik beberapa tahun kebelakangan ini dan banyak membuat perjanjian, terutamanya dengan syarikat media.

Pengawal selia Perancis dan Google menamatkan pertikaian selama bertahun-tahun pada Selasa dengan bersetuju rangka kerja bagi firma AS itu membayar saluran berita untuk kandungannya.

Google berkata ia membuat perjanjian dengan ratusan saluran berita di seluruh Eropah termasuk Agence France-Presse. – AFP, 23 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen