Hampir 50% kes kanser lewat dikesan kerana Covid-19, kata persatuan


Ravin Palanisamy

Menurut laporan Global Cancer Observatory 2021, terdapat 48,639 kes kanser baharu dicatat di negara ini pada 2020. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Jun, 2022.

IMPAK pandemik Covid-19 mengganggu program saringan kanser menyebabkan rakyat Malaysia menjalani saringan pada tahap berikutnya bagi penyakit maut itu, kata Pengarah Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Dr Murallitharan Munisamy.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight ia kerana sumber hospital disalurkan untuk memerangi wabak itu sejak dua tahun lalu.

“Oleh kerana pandemik Covid-19, kami kehilangan banyak keupayaan saringan kami.

“Kami sedang mengesan kebanyakan kes kanser pada peringkat seterusnya, sama ada pada tahap tiga atau empat,” katanya.

Dr Murallitharan berkata, secara purata, Malaysia melaporkan kira-kira 20,000 kes kanser baharu setiap tahun.

Beliau berkata, hampir 50% daripada kes itu didiagnosis pada tahap berikutnya.

“Saya boleh katakan 40 hingga 50% daripada semua pesakit sedang didiagnosis pada peringkat seterusnya.

“Saya mungkin juga meremehkan angka itu,” tambahnya.

Menurut laporan Global Cancer Observatory 2021, terdapat 48,639 kes kanser baharu dicatat di negara ini pada 2020.

Sebanyak 23,052 daripada kes itu membabitkan lelaki, manakala baki 25,587 wanita.

Terdapat juga 29,530 kematian akibat kanser pada 2020.

Dr Murallitharan berkata, keadaan itu boleh menjadi lebih buruk kerana negara masih melaporkan kes Covid-19 setiap hari hingga beribu-ribu dan belum beralih sepenuhnya kepada endemik.

Beliau berkata, kos rawatan pesakit Covid-19 di negara ini mengurangkan perbelanjaan kerajaan untuk merawat pesakit kanser.

“Saya boleh bayangkan masalah itu semakin teruk kerana kami masih merawat pesakit Covid-19 sehingga ke hari ini.

“Ini bermakna perbelanjaan merawat pesakit Covid-19 ada dan itu mungkin sebab mereka (kerajaan) tidak boleh berbelanja terlalu banyak untuk penyakit kronik seperti kanser,” katanya.

Menurut pakar, kos rawatan pesakit Covid-19 di negara ini mengurangkan perbelanjaan kerajaan untuk merawat pesakit kanser. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Jun, 2022.

Mengenai kekurangan ubatan untuk pesakit kanser, Dr Murallitharan berkata, Covid-19 juga menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan, memaksa mereka mendapatkan rawatan di hospital awam, yang menurutnya antara punca kekurangan itu.

Beliau berkata, mereka yang sebelum ini mendapat khidmat nasihat dan rawatan di hospital swasta kini beralih kepada hospital awam.

“Masalahnya semakin buruk sekarang kerana terlalu ramai pesakit yang mendapatkan bantuan di hospital kerajaan.

“Bayangkan 60 hingga 70% yang menghidap kanser datang semula ke hospital kerajaan kerana orang kehilangan pekerjaan.

“Apabila mereka kehilangan pekerjaan, mereka juga kehilangan insurans yang diberikan syarikat sebelum ini.

“Jadi, tanpa insurans, mereka perlu kembali ke hospital kerajaan. Ramai orang kini tidak mempunyai wang dan mereka bergantung kepada kerajaan,” kata Dr Murallitharan.

Tinjauan 2015 menunjukkan hampir separuh daripada pesakit kanser Malaysia mengalami masalah kewangan hanya setahun selepas didiagnosis.

Menurut George Institute for Global Health, 99% akan menggunakan wang simpanan mereka, 39% tidak mampu membayar ubatan mereka dan 19% memutuskan untuk menghentikan rawatan mereka.

Ubat kanser tidak disubsidi oleh kerajaan, memaksa sesetengah pesakit membeli ubat itu pada kadar premium di farmasi atau hospital swasta.

Ubat kanser dan kemoterapi boleh mencecah antara RM50,000 hingga hampir RM400,000 secara keseluruhan.

Daripada 36 pusat rawatan kanser di negara ini, hanya enam di bawah kementerian - Hospital Kuala Lumpur, Institut Kanser Negara, Hospital Pulau Pinang, Hospital Sultan Ismail di Johor, Hospital Likas di Sabah dan Hospital Umum Sarawak.

Baki empat pusat di hospital universiti dan 27 di hospital swasta.

Tahun lalu, ahli Parlimen Klang Charles Santiago menggesa kerajaan mewujudkan dana kanser nasional untuk golongan miskin dalam Bajet 2022.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengakui masalah ketidaksamaan dari segi penjagaan kanser untuk rakyat di negara ini.

Beliau mengakui kos untuk penjagaan kanser tidak mampu ditangani golongan berpendapatan rendah.

Menurut Khairy, Malaysia hanya mempunyai 128 pakar kanser dengan 78 daripadanya di hospital swasta, 36 di hospital awam dan 14 di universiti. – 23 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen